Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teresa ditahan hingga 28 hari
Diterbitkan:  Sep 15, 2008 9:15 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Exco kerajaan negeri Selangor Teresa Kok akan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 28 hari, kata

bapanya hari ini.

Kok Kim Tong, 74, berkata Teresa memberitahunya bahawa beliau akan ditahan bagi tempoh itu bermula semalam.

Kok dan isterinya Pong Seh Kwon, 71, sebelum itu dibenarkan berjumpa dengan anak mereka selama kira-kira sejam mulai 2 petang di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Teresa, yang juga ahli parlimen Seputeh, ditahan menjelang tengah malam Jumaat lepas.

"Beliau berkata, polis memberi satu notis kepadanya semalam, yang

memaklumkan bahawa penahanannya akan dilanjutkan selama 28 hari.

"Polis juga memintanya menandatangani notis itu, tapi beliau enggan berbuat demikian," kata Kok, lapor Bernama .

Kok, yang ditemani pembantu khas anaknya Mandy Ooi Haw Voon pada pertemuan itu, berkata Teresa memberitahunya bahawa beliau sedang disiasat tentang tiga perkara.

Perkara-perkara tersebut adalah penggunaan tulisan jawi pada papan tanda, tuduhan melarang laungan azan di dua masjid dan laporan polis terhadapnya oleh beberapa pertubuhan Islam, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bapa Teresa berkata, terdapat kira-kira 13 pegawai polis di dalam bilik berkenaan ketika beliau berjumpa dengan anaknya itu.

Menurut agensi berita itu lagi, Kok berkata, kehadiran sebegitu ramai pegawai polis ketika itu adalah tidak perlu.

Ditanya tentang keadaan Teresa, Kok berkata: "Beliau kelihatan tenang, tapi sangat lemah dan mukanya pucat... beliau mengalami cirit-birit dan sakit perut sejak malam semalam.

"Kata doktor, beliau mengalami tekanan darah rendah," kata Kok.

Kok berkata semasa pertemuan itu, beliau memberikan kepada anaknya ubat herba Cina dan pati ayam.

Beberapa pemimpin DAP, termasuk setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, Fong Kui Lun, Tony Pua dan Lim Kit Siang adalah antara mereka yang menunggu di luar Bukit Aman semasa Kok mengunjungi anaknya itu.

ADS