Walaupun pengerusi Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bahawa Umno negeri menyokong pelan peralihan kuasa pada 2010, tetapi sekurang-kurannya tiga bahagian di negeri itu memutuskan untuk menyerahkannya kepada perwakilan.
Ketiga-tiga bahagian tersebut ialah Machang, Rantau Panjang dan Gua Musang. Kelantan mempunyai 14 bahagian.
Umno bahagian Machang dan Rantau Panjang masing-masing akan bermesyuarat pada 10 Oktober dan Gua Musang pada 1 November.
Isnin lalu, pengerusi Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata mesyuarat badan perhubungan Umno negeri yang dihadiri hampir kesemua ketua Umno bahagian sepakat menyokong pelan peralihan kuasa itu.
Ketua Pemuda Machang, Datuk Sazmi Miah berkata berkata bahagian tersebut menyerahkan kepada perwakilan untuk membincangkan isu peralihan kuasa sama harus dipercepatkan atau mengikut pelan yang telah dipersetujui antara perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, ia adalah antara usul yang dikemukakan oleh cawangan-cawangan untuk dibincang dalam mesyuarat bahagian bulan depan.
"Ia diserahkan kepada perwakilan bahagian untuk membuat keputusan," kata Sazmi ketika dihubungi Malaysiakini.
Kepercayaan akar umbi
Sehubungan itu, katanya ahli akar umbi di bahagian itu mahukan perubahan dalam Umno demi kebaikan parti.
"Sesuatu perubahan hendaklah dibuat dengan mendengar suara dari akar umbi," jelas Sazmi lagi.
Beliau berkata, perubahan pucuk pimpinan - sama ada pada majlis tertinggi atau pemimpin bahagian - akan mengembalikan kepercayaan ahli akar umbi.
Ekoran itu, katanya, beliau secara peribadi mahu melihat perubahan pucuk pimpinan dipercepatkan.
Menurutnya, sayap-sayap bahagian tersebut - Pemuda, Wanita dan Puteri - akan bermesyuarat sehari sebelumnya.
Ahli jawatankuasa bahagian Rantau Panjang, Affendi Jaafar juga turut menyokong supaya diserahkan kepada perwakilan untuk menentukan pucuk pimpinan parti.
Beliau juga menganggap tempoh peralihan Abdullah kepada Najib pada 2010 adalah terlalu lama.
Oleh itu, beliau menggesa agar peralihan itu dipercepatkan kerana beranggapan tindakan "itu lebih baik."
Perkuatkan Umno
Sementara itu, naib ketua bahagian Gua Musang, Datuk Saufi Deraman juga berkata, pihaknya juga akan menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.
Katanya, ini kerana peruntukan bagi peralihan kuasa tidak terdapat dalam perlembagaan Umno.
Manakala bahagian Kubang Kerian dan Pasir Puteh pula menyokong pelan asal perubahan pucuk pimpinan parti.
"Bahagian Kubang Kerian bersetuju dengan pelan asal, iaitu peralihan kuasa berlaku pada Jun 2010 sepertimana yang dipersetujui oleh perdana menteri dan timbalannya," kata ketua bahagiannya, Mohd Fauzi Ismail Fauzi.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak supaya berhenti bercakap tentang mempercepatkan peralihan kuasa dan sebaliknya menumpukan perhatian untuk menguatkan Umno.
Bagaimanapun, katanya, Kubang Kerian masih belum menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat bahagian tersebut.
Di Pasir Puteh, ketua bahagiannya Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata pihaknya menerima pelan peralihan kuasa Jun 2010 seperti yang telah di putuskan
"Bagaimanapun ia tidak menafikan hak semua ahli sama ada untuk menerimanya atau menolaknya.
"Kita tengok mesyuarat perwakilan bahagian Oktober ini," jelas Kamaruddin.
Peralihan kuasa
Bagaimanapun, beliau mengakui wujudnya keresahan ahli di peringkat akar umbi berhubung isu peralihan kuasa sejak akhir-akhir ini.
Sementara itu, di Kuala Krai, ketua Wanitanya - ketika dihubungi Malaysiakini - berkata pergerakan itu menyerahkan kepada ketua bahagiannya untuk membuat keputusan mengenai peralihan kuasa itu.
"Wanita menyerah kepada ketua bahagian untuk membuat keputusan sama ada mahu mempercepatkan peralihan kuasa ataupun tidak," kata Rohani Abdul Majid.
Menurutnya, Wanita bahagian menerima baik sesiapa sahaja untuk memimpin Umno sama ada Abdullah ataupun Najib.
Bagaimanapun Kuala Krai, tambah Rohani, masih belum menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat bahagiannya.
Sementara itu di Tumpat, ahli jawatankuasa bahagian Tumpat, Abd Aziz Ibrahim berpendapat wujud pro dan kontra jika peralihan berlaku dalam masa terdekat.
Katanya, jika Abdullah mempercepatkan peralihan kuasa kepada timbalannya, Najib juga berdepan dengan risiko kerana memimpin Umno dalam keadaan yang lemah.
Ekoran itu, beliau mengajak ahli-ahli Umno bersama-sama memikirkan jalan yang terbaik untuk memperkasa dan memperkuatkan semula Umno.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan menyokong apa sahaja keputusan bahagian berhubung peralihan kuasa ini.
Bahagian Bachok, Ketereh dan Pengkalan Chepa juga memutuskan menyokong pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh Abdullah dan Najib.
Bahagian Jeli dan Kota Bharu pula, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung isu peralihan kuasa itu.
