Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lapan bahagian Umno di Terengganu masih berbelah bagi sama ada pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak harus dipercepat atau kekal pada Jun 2010.

Tinjauan Malaysiakini mendapati bahagian Besut mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan Umno manakala bahagian Kemaman pula menyerahkan kepada keputusan perwakilan.

Bahagian Setiau pula menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk memutuskan tarikh terbaik untuk melakukan peralihan kuasa manakala Kuala Terengganu setuju dengan pelan tersebut.

Manakala empat lagi bahagian - Kuala Nerus, Dungun, Hulu Terengganu dan Marang - enggan mengulas mengenainya isu peralihan kuasa tersebut.,

Naib ketua bahagian Besut, Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman berpendapat, peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib harus dipercepatkan.

"Dalam keadaan (politik) sekarang, akar umbi mahukan perubahan pucuk pimpinan atasan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wan Zakaria juga berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin muda.

Bahagian tersebut dijadual mengadakan mesyuarat pada 11 Oktober ini, manakala ketiga-tiga sayap bahagian akan bermesyuarat sehari sebelumnya.

Serah pada perwakilan

Sementara itu di Kemaman, setiausaha bahagian, Zahari Said berpendapat peralihan kuasa harus ditentukan oleh perwakilan dalam mesyuarat bahagian bulan depan.

"Itu yang sebenarnya. Saya lebih suka kembali kepada perlembagaan parti," kata Zahari.

Beliau berkata, bahagiannya akan bermesyuarat pada 18 Oktober manakala pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri akan bermesyuarat sehari sebelumnya.

Di Setiu pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Che Khazan Che Mat berkata, tarikh peralihan kuasa tersebut terserah kepada Abdullah dan Najib.

"Serah kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri untuk membuat keputusan," katanya sewaktu duhubungi Malaysiakini.

Beliau yang juga ketua pemuda bahagian berkata, bahagian tersebut akan mengadakan mesyuarat pada 28 Oktober depan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh mesyuarat bagi pergerakan Pemuda masih belum ditetapkan.

Enggan komen

Sementara itu, di Kuala Nerus, ahli jawatankuasanya Awang Salleh enggan mengulas apabila ditanya mengenai peralihan kuasa itu.

"Bahagian tak buat apa-apa keputusan. Saya tak nak komen dahulu tentang perkara itu," katanya.

Katanya, beliau tidak mahu pandangannya disalah tafsir kerana mendahului keputusan bahagiannya.

Di Kuala Terengganu pula, seorang ahli jawatankuasa bahagian tersebut, yang tidak mahunya disebut, berkata, bahagian itu bersetuju dengan pelan peralihan Jun 2010 antara Abdullah dan Najib.

Sementara itu, beberapa pemimpin Umno bahagian Dungun, Hulu Terengganu dan Marang enggan mengulas lanjut berhubung isu peralihan kuasa ini sama ada harus dipercepatkan ataupun tidak.

Dungun dan Hulu Terengganu masing-masing dijadual mengadakan mesyuarat pada tarikh yang sama, 25 Oktober depan.

Manakala di Marang masih belum menetap tarikh mesyuarat bahagian tersebut.

ADS