Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM100 juta untuk projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah bawah skim Rumah Mesra Rakyat (RMR), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kerajaan berharap peruntukan tambahan ini akan membolehkan lebih lebih ramai rakyat mendapat manfaat terutama di kawasan luar bandar seterusnya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna," katanya sebagai menteri kewangan, yang baru dilantik minggu lepas.

Dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini, beliau berkata, peruntukan besar itu akan membolehkan 1,500 unit RMR dibina di seluruh negara.

Bagaimanapun, berikutan peningkatan kos, harga rumah dinaikkan mengikut lokasi ia dibina - RM70,000 bagi Semenanjung, RM80,000 bagi Sabah dan Sarawak, jelasnya.

Harga sebelum ini di antara RM60,000 hingga RM70,000.

Najib berkata, sejak skim ini diperkenalkan enam tahun lalu, sebanyak 6,551 unit RMR dengan kos RM310 juta telah siap dibina dan dijual.

Sebanyak 6,263 unit, tambahnya, dengan kos sebanyak RM465 juta masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada Mac 2009.

Skim ini diperkenalkan untuk membantu rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM1,500 untuk memiliki rumah sendiri.

Untuk memohon skim ini, pemohon mestilah mempunyai tanah sendiri atau tanah saudara mara terdekat yang memberi kebenaran berkanun untuk menduduki tanah tersebut.

Seseorang berumur antara 21 hingga 65 tahun layak memohon.

Melalui skim ini, pemilik hanya menanggung dua pertiga daripada kos pembinaan, manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan.

Ditanya tentang kemampuan kerajaan mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi lebih empat peratus, Najib berkata sasaran kerajaan antara 4.7 hingga 5.5 peratus masih boleh dicapai.

Bagaimanapun, katanya lagi, keadaan semasa di Amerika Syarikat memainkan peranan kepada pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.

ADS