Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ketua cawangan Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan membuat laporan polis terhadap setiausaha bahagian sistem maklumat ibu pejabat Umno, Datuk Ismail Mohamed.

Dalam laporannya, Ismail didakwa mengaku ditawar untuk membeli kereta dengan harga murah oleh seorang pemimpin yang mahu bertanding jawatan ketua bahagian tersebut.

Ketua cawangan Simpang Tiga Seri Mahligai, Bukit Mas, Amran Abdul Rahman membuat laporan tersebut di balai polis Tanah Merah jam 1.33 tengahari semalam.

Dalam laporan tersebut, Amaran mendakwa, Ismail memberitahu perkara itu dalam satu perjumpaan pada 7 Ogos lalu - di antara jam 12 hingga 1 tengah hari - di ruang menunggu tingkat 20 bahagian sistem maklumat ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjumpaan itu diadakan berhubung permasalahan keahlian yang menyebabkan cawangan dalam bahagian Tanah Merah masih gagal bermesyuarat walaupun tempoh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno telah berakhir.

Beliau mendakwa, turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah ketua Pemuda bahagian, Jusoh Deraman; penolong setiausaha, Muhammad Yuswadi Yaacob dan ketua penerangan Umno bahagian, Bahari Mohamad Nor.

Dalam laporan polis tersebut, Amran turut mengemukakan akuan bersumpah oleh Jusoh, Yuswadi dan Bahari.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Amran berkata, perjumpaan tersebut berkaitan masalah ahli dan status cawangan yang tidak membayar yuran keahlian.

'Laporan didakwa tidak tepat'

Amran mendakwa, semakan yang dibuatnya mendapati ada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi ahli Umno di cawangan tertentu sedangkan mereka tidak memohon.

Manakala Ahad lalu, Amran membuat laporan polis terhadap bekas setiausaha Umno bahagian Tanah Merah, Ahmad Ismail kerana beliau mengesyaki berlaku penyelewengan dalam kewangan Umno bahagian.

Amran juga mendakwa Ahmad turut disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan mengemukakan laporan yang tidak tepat dan benar kepada ibu pejabat Umno.

Beliau mendakwa, Ahmad telah membuat pindaan dengan menambah dan mengurangkan jumlah ahli beryuran.

Ekoran itu, dakwa Amran, 31 cawangan gagal serta lewat membayar yuran sehingga 31 Disember 2007.

Amran juga berkata, beliau menemui setiausaha kerja Umno, Datuk Hussainy Hussain lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, dakwanya, beliau telah diminta supaya tidak memanjangkan perkara tersebut.

Dakwanya lagi, surat-surat yang dihantarnya mengenai perkara tersebut juga telah abaikan.

ADS