Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau menawarkan diri bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno sebagai mewakili suara orang muda dalam Umno.

“Saya menawarkan diri ini supaya diberi peluang untuk menarik orang muda, bukan sahaja yang ada dalam parti tetapi yang di luar supaya menyokong semula Umno.

“Orang muda dalam Umno susah hendak naik kerana birokrasi, iaitu kenaikan berdasarkan kekananan jawatan dalam parti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di ibu negara semalam.

nur jazlan mohamed Ahad lalu, Nur Jazlan,42, menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Selain beliau, dua lagi pemimpin yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut ialah naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Nur Jazlan berkata, selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, MT nampaknya tidak begitu berupaya melakukan perubahan untuk menarik orang muda menyokong dan menyertai Umno.

“Sistem birokrasi dalam Umno menyebabkan orang perlu naik setapak demi setapak," katanya.

'Mesej orang muda'

"Parti (Umno) ada memberi tempat kepada orang muda tetapi lambat dan oleh kerana itu perlu mencari mekanisme supaya bakat baru dapat ke depan," katanya.

Nur Jazlan berkata, beliau mula memikirkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno selepas Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia menjadi serius selepas Ahmad Zahid mengumumkan beliau bertanding jawatan tersebut baru-baru ini.

"Saya cuma menawarkan diri tetapi bahagian yang menentukan. Jika tidak cukup pencalonan, saya tidak layak bertanding.

"Jika tidak mendapat pencalonan mencukupi saya tidak kecil hati, saya masih siuman, saya tidak gila.

"Saya hendak menyampaikan mesej orang muda iaitu perubahan-perubahan yang dituntut oleh mereka.

"Orang muda perlukan seseorang dan sebenarnya tiada sebab untuk mereka tidak menyokong Umno," katanya.

'Tahu ukur baju'

Nur Jazlan berkata, niat beliau bertanding jawatan timbalan presiden Umno ialah untuk membawa perubahan dalam parti.

Katanya, dalam Umno hanya suara presiden dan timbalan presiden yang boleh membawa perubahan dalam parti.

"Jika wajar saya bertanding jawatan itu, maka calonkan saya tetapi saya tahu ukur baju di badan sendiri.

"Saya akan tulis surat kepada ketua-ketua Umno bahagian untuk menerangkan sebab-sebab saya bertanding," katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga tidak pernah berunding dengan ketua-ketua Umno bahagian di Johor berhubung keputusannya untuk menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden.

Katanya, Umno perlu membuat perubahan dan meremajakan parti dengan cepat untuk menarik semula sokongan pengundi khususnya di kalangan orang muda.

Beliau berkata, orang muda dalam pembangkang telah diberi tempat untuk memegang pelbagai jawatan seperti wakil rakyat dan menteri besar.

"Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng umpamanya masih muda kerana baru berumur 40-an," katanya.

Nur Jazlan pernah menjadi exco pergerakan Pemuda Umno selama lapan tahun iaitu dari 1996 hingga 2004.

Selain menjadi ahli Parlimen Pulai, beliau juga merupakan ketua Umno bahagian tersebut sejak 3003.

ADS