Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Perlis tidak berniat menamatkan perkhidmatan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan tindakan mufti terkenal itu untuk bersara dikatakan berpunca daripada "salah faham" semata-mata.

"Hendak berhentikan apa? (Calon) pengganti pun kita tidak ada," kata Menteri Besar Datuk Seri Md Isa Sabu kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri “tidak ada apa-apa masalah” dan “berpuas hati” dengan prestasi mufti muda itu selama dua tahun perkhidmatannya sejak 2006.

Menteri besar juga memuji Dr Mohd Asri kerana mempunyai pandangan yang “cukup kritikal” terhadap pelbagai isu agama di negara ini.

Md Isa menafikan dakwaan mufti Perlis bahawa terdapat "permainan silap mata politik".

Semalam, Dr Mohd Asri mengumumkan bersara mengejut akibat “tidak selesa dengan permainan politik” oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Beliau menyifatkan perkara itu “macam main silap mata”.

Dengan kelantangan dan ketegasannya, Dr Mohd Asri memecah rekod institusi agama itu apabila mengulas penangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lepas, peralihan kuasa dalam Umno, mubahalah isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negara dan pengharaman penyanyi Faizal Tahir.

Selain itu, beliau pernah hadir dalam forum yang dianjurkan Pakatan Rakyat di Kelantan selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Ditanya tentang status kontrak mufti itu, Md Isa berkata, kontraknya sejak 1 November dua tahun lepas akan tamat hujung bulan ini dan “menjadi prosedur biasa” bagi kerajaan negeri menghantar surat makluman sebulan lebih awal.

“Macam ejen insurans juga, apabila insurans hendak (sampai tempoh) mati, dia akan beritahu lebih awal,” katanya.

Selepas itu, katanya, mufti perlu memaklumkan kepada kerajaan melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya kontrak yang baru dapat dikeluarkan.

Sumber-sumber semalam memberitahu Malaysiakini , surat makluman tamat kontrak perkhidmatannya sejak 2006 dihantar kepadanya baru-baru ini walaupun kontrak baru sehingga Oktober 2009 telah ditandatangani oleh mufti itu Jun lalu.

Pengiriman notis penamatan itu, menurut sumber-sumber, "ada (niat) sesuatu".

Bagi menjernihkan keadaan, kata Md Isa, beliau bersedia bertemu dan berbincang dengan Dr Mohd Asri.

Diminta mengulas kenyataan bekas menteri besar Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap isu itu yang seolah-olah “pukul anak sindir, menantu”, Md Isa berkata:

“Yang itu (berunsur) politik.”

Kelmarin, Shahidan menyifatkan tindakan Dr Mohd Asri berhenti sebelum habis kontrak sebagai tidak menghormati keputusan kerajaan negeri terdahulu bawah pimpinannya yang menyambung perkhidmatan sehingga tahun depan.

Pagi tadi, Dr Mohd Asri dinasihatkan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sewaktu beliau menghadap baginda supaya terus berkhidmat sebagai mufti Perlis.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu, kelulusan doktor falsafah dalam pengajian hadis di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dilantik sebagai mufti menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin yang bersara wajib.

ADS