Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini mengajak ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya bersama-sama memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden Umno yang baru.

Beliau yang juga ketua menteri Melaka berkata, ini penting dalam usaha menguatkan parti dan bersama-sama untuk menghadapi cabaran yang lebih besar untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Mohd Ali menegaskan demikian ketika diminta mengulas pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan Umno Mac depan.

Abdullah juga mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas Najib dipilih sebagai presiden Umno yang baru.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti Mac depan.

Calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan, timbalan presiden (20% atau 38 pencalonan), naib presiden (10% atau 19 pencalonan) dan Majlis Tertinggi (5% atau 10 pencalonan).

Mengulas lanjut, Mohd Ali yakin keputusan Abdullah akan dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kemenangan yang lebih besar pada masa depan.

"Saya berpendapat semua pemimpin Ummo di semua peringkat akan kembali bersama menyokong kepimpinan, iaitu presiden parti yang baru.

"Saya yakin ianya dapat dilakukan oleh Datuk Seri Najib," tambahnya.

Mohd Ali adalah antara tiga pemimpin Umno yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Dua orang lagi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sementara itu, Utusan melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai menyifatkan keputusan perdana menteri itu sebagai satu pengorbanan pemimpin berjiwa besar yang perlu diberikan pujian.

Keputusan Abdullah itu, katanya, perlu dihargai kerana sanggup mengorbankan kepentingan peribadi dengan mengundurkan diri lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

"Ini juga menunjukkan Abdullah akur dan sedia mendengar suara akar umbi bagi membolehkan penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan tugas sebagai pemimpin parti dan kerajaan khususnya bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13,’’ katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau akan memberi reaksi berhubung pengumuman perdana menteri untuk tidak mempertahankan jawatannya, di Terengganu esok.

"Esok...esok,’" katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini.

Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Terengganu pagi esok.

ADS