Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar tidak terkejut Pak Lah berundur
Diterbitkan:  Oct 9, 2008 12:35 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk berundur sebagai Perdana Menteri tahun depan dan tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno.

"Beliau (Abdullah) telah membayangkan perkara itu sebelum ini dan jelas sekali, beliau menerima tekanan dalam UMNO. Saya tidak fikir beliau mampu terus bertahan dalam keadaan seperti itu. Ini bukan isu peribadi. Ia melibatkan sistem.

"Ini bukan soal peribadi, soalnya ialah pemerintahan dan sistem sama ada peluang untuk membawa perubahan mengurus ekonomi dan keadaan gawat sekarang,soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa, undang-undang yang keras, masalah perpaduan kaum," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Bernama melaporkan, Anwar, 61, menghadiri prosiding kes liwat melibatkan dirinya di Mahkamah Sesyen bagi mendengar hujah pihak pembela dan pendakwa mengenai sah atau tidak sijil pemindahan yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Saya merayu kepada Abdullah ... agar sekurang-kurangnya melakukan perkara yang betul. Saya cadangkan, esok, bebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," kata beliau.

Lim: Pak Lah dipaksa berundur

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri dipaksa melepaskan jawatan tanpa kerelaannya, dan mengikut jangka masa yang bukan menjadi pilihannya.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, pengunduran secara tiba-tiba dan tidak sopan itu merupakan gambaran muram kedudukan politiknya yang lemah, yang mengakibatkan beliau kehilangan penghormatan oleh parti.

"Berbeza daripada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah dipaksa berundur," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata ironinya, orang ramai lebih menghormati Abdullah berbanding parti Umno, kerana beliau dilihat sebagai "orang yang memiliki hasrat yang baik, yang mungkin seorang daripada beberapa kerat pemimpin bersih yang masih tinggal dalam Umno".

"Abdullah sepatutnya meninggalkan legasi dalam memerangi rasuah dengan mewujudkan tender terbuka dan mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menyalahguna kuasa," tambahnya.

Sudah terlambat

Selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, Abdullah mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatanya sebagai presiden Umno, dan akan meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Mac tahun depan.

Sementara itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat tindakan perdana menteri itu sebagai "sesuatu yang sudah terlambat".

"Kalau lepas (jawatan) pada Mac tahun depan, Perdana Menteri seperti rasa tidak bersalah, dan kalau bertanggungjawab pada parti atau negara sepatutnya letaklah jawatan sekarang," katanya kepada pemberita.

Nik Aziz turut menyifatkan tindakan Abdullah sebagai tidak bijak dan telus kerana ia akan terus mengeruhkan suasana politik negara.

Kerajaan Kedah pimpinan PAS puls berharap pengganti Abdullah nanti akan meneruskan hubungan mesra dengan kerajaan negeri.

Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pihaknya akan berurusan dengan sesiapapun yang dilantik menjadi Perdana Menteri.

Hubungan baik

"Saya tidak mahu menjaga tepi kain orang dan perkara itu (keputusan Abdullah) adalah masalah Umno," katanya dan menambah, Kedah mempunyai hubungan baik dan mesra dengan kerajaan persekutuan, dan menganggap Abdullah sebagai pemimpin kerajaan yang menunjukkan contoh terbaik dalam hubungan antara Umno dan PAS.

"Bagaimanapun jika sudah sampai masa bagi Abdullah meletak jawatan ia sepatutnya melakukannya kerana pemimpin datang dan pergi adalah perkara biasa," kata Azizan.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata adalah sukar bagi Abdullah melaksanakan janji-janji beliau untuk melakukan pembaharuan, sebaik sahaja beliau mengumumkan rancangan pengundurannya semalam, berbanding ketika beliau memperolehi mandat besar pada pilihan raya Mac 2004.

"Namun begitu tekad tersebut masih boleh dilaksanakan sekiranya Abdullah bersedia untuk melakukan sesuatu yang mustahil, dan menggunakan tempoh lima bulan sebagai Perdana Menteri untuk melaksanakan semua ikrar dan janji yang dibuatnya sejak lima tahun lepas," menurut beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tindakan itu perlu dilaksanakan mulai mesyuarat kabinet hari ini, dan juga pada hari pertama Parlimen bersambung pada 13 Oktober ini, dan menurutnya ia adalah pengunduran terhormat bagi Perdana Menteri kelima itu.

ADS