Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Asri: Saya tidak akan mengampu
Diterbitkan:  Oct 9, 2008 12:37 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini bersajak mendendangkan keluh kesahnya berhubung "permainan politik" sehingga memaksanya melepaskan jawatan mufti Perlis bermula awal bulan depan.

Dalam puisi terbaru yang dimuatkan di blognya, mufti muda itu menyatakan beliau tidak sedia mengampu dan rela berada dalam kesusahan demi mempertahankan pendiriannya.

"Hendak mengampu? Maaf, aku tidak dikurniakan kemampuan itu. Disuruh diam, Tuhanku melarang," katanya.

"Bicaraku pula, tiada yang menaja. Hanya Allah dan Rasul-Nya. Maka bahasaku tidak pernah mengira siapa (sasaran kritikannya). Semua makhluk adalah sama."

"Mereka itu rupanya lupa, atau tidak pernah bertanya? Sofa rumahku telah lama buruk, tetamu pun tidak selesa duduk. Hidanganku rakyat kebanyakan, kadangkala aku makan tepi jalan."

Puisi ini dikarang dipercayai sebagai mengulas kesediaan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu semalam bertemu dan berbincang dengannya berhubung kontrak perkhidmatannya.

Dr Mohd Asri sebelumnya menyatakan tidak bersedia berjumpa dengan Md Isa bagi membincangkan jawatan tersebut.

"Saya tidak akan berjumpa beliau (Md Isa) untuk meminta jawatan," katanya kepada Malaysiakini kelmarin.

Beliau juga menduga " permainan politik " yang dikenakan kepadanya berkemungkinan ada pihak yang iri hati dengan jawatannya sekarang.

"Apa itu yang mereka cemburu? Kerusi empuk buruk yang aku duduk? Atau kerna aku tidak sanggup mengangguk? Mendengar kata mereka terus duduk?"

Puisi 'Salah Menduga' itu juga membayangkan ada pihak yang tidak senang pada beliau susulan sikap lantangnya dalam banyak perkara penting dan kontroversi.

"Atau mereka tidak selesa bila aku berbicara? Atau mereka sangka suaraku lebih berkuasa? Atau mereka rasa aku raja massa?

"Atau mereka jangka aku akan ke takhta? Atau mereka sangka aku dah kaya?" coret Dr Mohd Asri menjelang tengah malam tadi.

dr asri zainul abidin mufti perlis and putrajaya pantun Mufti termuda di Malaysia itu memecah rekod institusi agama apabila bersuara lantang dalam beberapa isu penting dan kontroversi, termasuk penangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lepas, peralihan kuasa dalam Umno, mubahalah isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negara dan pengharaman penyanyi Faizal Tahir.

Selain itu, beliau pernah hadir dalam forum yang dianjurkan Pakatan Rakyat di Kelantan selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Anak kelahiran Bukit Mertajam itu, kelulusan doktor falsafah dalam pengajian hadis di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dilantik sebagai mufti menggantikan Datuk Alim Panglima Mat Jahaya Hussin yang bersara wajib.

Semalam beliau menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyampaikan hajatnya bersara awal, walaupun kontraknya tamat Oktober 2009.

Menurut Dr Mohd Asri, baginda menasihatkannya agar meneruskan perkhidmatan tetapi beliau sudah tawar hati.

ADS