Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy dapat pencalonan pertama
Diterbitkan:  Oct 9, 2008 4:48 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan pertama untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

khairy jamaluddin Beliau yang juga naib ketua pergerakan tersebut, mendapat pencalonan pertamanya daripada bahagian Machang di Kelantan.

Pergerakan Pemuda Umno Machang mencalonkan Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, sebagai ketua ketua Pemuda dalam mesyuaratnya hari ini.

Mesyuarat tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Sains, Labok dekat sini hari ini.

Selain Khairy, tiga orang lagi telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut.

Mereka ialah ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan timbalan pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam persidangan perwakilan Pemuda Machang hari ini, dihadiri oleh 337 ahli daripada 125 cawangan.

Dalam pengundian yang dijalankan, Khairy mendapat 96 undi dan Mukhriz memperolehi 78 undi manakala ahli perwakilan lain tidak mengundi.

Bahagian itu mencalonkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar di Selangor, Faizal Abdullah, untuk jawatan naib ketua.

"Kami merasakan Khairy mampu menggalas tanggungjawab besar dalam usaha memperkasakan Pemuda dan seterusnya memperkuatkan Umno," kata Eriandi Ismail.

Sebelum itu, Eriandi menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian Machang menggantikan Datuk Sazmi Miah yang melepaskan jawatan kerana faktor umur.

Umno Bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat perwakilannya esok.

Wanita Umno bahagian itu, yang juga mengadakan mesyuaratnya hari ini, mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi mempertahankan jawatan ketua dan naib ketua Wanita Umno.

ADS