Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hakim batal larangan terhadap media
Diterbitkan:  Oct 9, 2008 11:35 PM
Dikemaskini: 10:38 PM

Hakim Mahkamah Sesyen S.M.Komathy hari ini membatalkan keputusan awalnya yang melarang media daripada menyiarkan kandungan tiga bahan bukti yang dikemukakan pada prosiding sebelum ini berkaitan perbicaraan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, beliau mengeluarkan perintah larangan itu berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang berhujah bahawa penyiaran bahan itu akan mencemarkan lagi nama baik Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Bahan bukti yang dimaksudkan ialah dua kenyataan tuntutan yang difailkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan pegawai penyiasat dalam kes Anwar pada 1998 Datuk Mat Zain Ibrahim serta laporan akhbar mengenai kejadian "mata lebam" Anwar.

anwar ibrahim Pada permulaan prosiding hari ini, menurut Bernama, Sulaiman Abdullah, peguam utama Anwar, berkata media tidak sepatutnya dilarang berbuat demikian kerana kandungan dokumen yang terdapat dalam affidavit Anwar itu telah dibaca di mahkamah terbuka dan ini menjadikannya dokumen awam.

Kata beliau lagi: "Dua kenyataan tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta menjadi dokumen awam dan oleh itu, boleh disiarkan. Orang ramai berhak untuk tahu apa yang berlaku di mahkamah."

Mata Anwar lebam pada 1998 akibat dipukul Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Rahim Noor di lokap Bukit Aman.

Kini, ketua pembangkang berusia 60 tahun itu menghadapi tuduhan melakukan hubungan seks luar tabie secara sukarela dengan bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara 20 tahun mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Kini, Anwar dikenakan ikat jamin peribadi RM20,000.

Anwar memfailkan affidavit berkenaan bagi menyokong permohonannya untuk membantah usaha pihak pendakwa memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dengan mempertikaikan kesahan sijil pemindahan yang ditandatangani Abdul Gani, yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan satu laporan polis yang dibuat Anwar terhadapnya atas tuduhan mengada-adakan bukti dalam siasatan kes mata lebam itu.

Sulaiman berkata pihak pendakwa tidak memberi sebarang sebab yang meyakinkan kenapa tiga bahan bukti itu perlu ditegah daripada disiarkan, sedangkan ia tidak boleh dipisahkan daripada affidavit berkenaan.

"Setelah bahan bukti itu dibaca di mahkamah, ia tidak boleh disekat daripada disiarkan. Perintah yang melarang penyiarannya menafikan hak orang ramai untuk mengetahui apa yang berlaku di mahkamah," kata Sulaiman.

Beliau berkata 10 tahun lepas, pendakwa membantah permohonan Anwar agar bahan bukti tertentu berkaitan Musa dilarang daripada disiarkan, tetapi kini, pendakwa sendiri memohon perintah larangan apabila ia membabitkan Abdul Gani.

"Pendakwa tidak sepatutnya mengemukakan permohonan itu untuk pihak ketiga. Sepatutnya, Abdul Gani sendiri mengemukakan permohonan bagi mengetepikan afidavit Anwar," katanya.

Ketika mengetepikan perintah larangan itu, Komathy merujuk kepada satu kes undang-undang yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ketika itu Datuk Sulong Matjeraie berhubung kes rasuah melibatkan bekas pengarah urusan Sawit Kinabalu Group Datuk Wasli Mohamad Said.

Dalam kes itu, keputusan dibuat bahawa Perintah Peraturan 41 5(2) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980 memperuntukkan bahawa sesuatu affidavit bersumpah yang dibuat bagi tujuan digunakan dalam prosiding interlokutori, boleh mengandungi kenyataan maklumat atau kepercayaan yang mempunyai hubungan dengan sumber serta asasnya.

Dengan itu, Komathy membuat keputusan bahawa kandungan bahan bukti daripada affidavit Anwar boleh diterima.

Perbicaraan akan disambung pada 31 Oktober bagi mendengar hujah tentang kesahan sijil pemindahan.

Hakim berkenaan menetapkan tarikh itu setelah Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa oleh kerana Parlimen akan bersidang dari 13 Okt hingga 11 Disember, maka Anwar, sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh, perlu menghadirinya.

Sulaiman juga berkata Parlimen akan bersidang dari Isnin hingga Khamis dan Anwar hanya mempunyai kelapangan pada hari Jumaat.

ADS