Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM haramkan siaran langsung debat MCA
Diterbitkan:  Oct 14, 2008 4:58 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini melarang siaran langsung perdebatan calon-calon jawatan utama MCA yang akan bermula 8.30 malam di stesen ntv7.

Perdebatan yang dijadual diadakan di auditorium Nanyang Siang Pau di Kelana Jaya malam ini untuk jawatan timbalan presiden antara naib presiden Datuk Donald Lim dan bekas naib presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek.

Menurut kenyataan media stesen televisyen itu, SKMM menggesa pihaknya merakamkan progran itu dan ditapis oleh lembaga penapisan sebelum disiarkan pada waktu berlainan.

Sementara itu, naib presiden MCA Datuk Ong Tee Keat membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau mempunyai aset sebanyak RM21 juta dalam bahan kempen perebutan jawatan tertinggi parti itu sekarang.

Beliau ke ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya bersama peguamnya Simon Lim Seng Chai kira-kira 11 pagi ini.

Menurut Bernama , Ong berkata tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tidak berasas dan bertujuan menjatuhkan karier politiknya.

"Saya terpaksa berbuat demikian (laporan polis) untuk menolak segala fitnah yang dibuat ke atas saya.

"Selama ini saya hanya membuat kenyataan menafikan segala tuduhan, tetapi kali ini saya perlu bertegas supaya polis dapat menyiasat tentang perkara itu," katanya kepada media selepas laporan tersebut.

Rabu lepas, pengasas Jawatankuasa Kempen Keselamatan MCA Datuk Thean Book menggesa Ong, yang bersaing untuk merebut jawatan presiden MCA bersama Datuk Seri Chua Jui Ming, agar membuat laporan polis berhubung tuduhan tersebut.

Thean berkata beliau dan beberapa anggota MCA menerima surat layang yang mendakwa Ong, kini menteri pengangkutan, mempunyai banyak harta termasuk banglo, rumah teres, kedai, kilang dan kondominium di sekitar Selangor, yang sewanya diperolehi setiap bulan.

"Harta-harta yang disenaraikan (didakwa) itu perlu disiasat... hak milik sebenar dan juga jenis-jenis harta itu," kata Ong.

"Saya sendiri tidak tahu-menahu mengenai harta yang didakwa itu. Saya cuma tahu mengenai kandungan surat layang berkenaan minggu lepas dari rakan-rakan parti," katanya, lapor agensi berita itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS