Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Piala Monsun: Penganjur nafi minta tajaan tambahan

Walaupun berdepan dengan kontroversi dan dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), kejohanan kapal layar bertaraf dunia Piala Monsun akan tetap diadakan seperti dijadualkan, kata pengerusi penganjur T-Best Events Sdn Bhd, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

"T-Best sudah membuat persiapan mengenainya dan promosi secara besar-besaran akan dijalankan selepas kejohanan kuda lasak dunia di Lembah Bidong, Setiu, bulan depan diadakan.

"Kami tidak perlu menjalankan promosi secara agresif sekarang kerana tidak mahu ia membayangi kejohanan (kuda lasak) tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

monsoon cup 260906 ships sailing boats Kejohanan kuda lasak itu turut disertai oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu.

Wan Hisham menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bahawa T-Best belum berunding dengan kerajaan negeri mengenai penganjuran kejohanan tesebut.

Bernama juga memetik menteri besar sebagai berkata, tiga bulan lalu, pihak penganjur meminta kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan lebih tinggi tahun ini kerana mendakwa mengalami kerugian tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata selepas itu pihak penganjur "diam" dan setakat ini beliau tidak tahu mengenai perkembangan kejohanan itu sama ada ia diadakan atau tidak.

Menteri besar juga dipetik sebagai berkata, kejohanan kapal layar di kuala Sungai Terengganu bagi tahun ketiga "mungkin tidak akan diadakan berikutan tiada persiapan yang dilakukan penganjur."

Mengulas mengenai laporan tersebut, Wan Hisham, yang juga bekas exco kerajaan Terengganu menafikan pihaknya memohon peruntukan tambahan untuk kejohanan Piala Monsun tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya jumlah peruntukan yang diperlukan untuk pengurusan kejohanan Piala Monsun tahun ini.

Wan Hisham juga mengulas mengenai laporan Pemuda PAS dan PKR kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai penganjuran Piala Monsun tersebut pada 29 Julai lalu.

islam hadhari Mereka membuat laporan tersebut susulan kenyataan menteri besar Terengganu yang meminta badan itu menyiasat dua projek mega - Piala Monson dan Masjid Kristal.

"Saya tidak tahu apa yang mereka mengadu mengenai kejohanan ini. Saya akan memberi kerjasama mengenai perkara tersebut," katanya.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdul gagal dihubungi untuk mendapatkan komen beliau mengenai laporan tersebut.

Piala Monsun mula diadakan pada 2006 semasa kerajaan negeri ditadbit menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh.

Sebanyak 42.9 peratus saham T-Best dimiliki oleh TDM Bhd sebuah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, manakala 57.1 peratus saham lagi milik syarikat swasta, Prestasi Wangi Sdn. Bhd.

T-Best mempunyai hak penganjuran Piala Monsun selama lapan tahun bermula 2006.

Sementara itu, exco pelancongan kerajaan Terengganu, Datuk Zaabar Mohd Adib mengesahkan kejohanan Piala Monsun akan diadakan pada 4 hingga 7 Disember depan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang peruntukan kepada T-Best sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kementerian belia dan sukan dan kementerian pelancongan akan membiayai Piala Monsun tahun ini.

"Jadi kerajaan negeri tidak mengeluarkan sesen pun untuk tahun ini," katanya sambil menambah kerajaan negeri mengeluarkan kira-kira RM20 juta tahun lalu.

Zaabar berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan meneruskan Piala Monsun kerana lokasi dan kemudahan yang sudah ada di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Katanya, ada negeri lain yang mahu menganjurkan kejohanan tersebut jika Terengganu tidak mahu menjayakannya.

"Tetapi kerajaan negeri mengambil sikap kontroversi yang berlaku daripada penganjuran Piala Monsun telah berlaku.

"Ia perlu diteruskan kerana lokasi dan kemudahan telah tersedia kerana ia meningkatkan sektor pelancongan negeri Terengganu," katanya.

Zaabar berkata, penganjuran Piala Monsun menjadi kontroversi kerana kos pembinaan kemudahan di Pulau Duyong menelan belanja lebih RM200 juta.

Bagaimanapun, kata Zaabar, T-Best boleh menarik diri jika syarikat tersebut enggan menganjurkan lagi Piala Monsun tersebut.

ADS