Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 12:56am Tiada pelan peralihan kuasa baru Umno dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam ini sewaktu muncul lagi konflik terbuka dalam kalangan pemimpin atasan parti itu, baru-baru ini.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu itu dan tarikh baru mesyuarat agung dan pemilihan parti, yang dijadualkan Mac tahun depan, tidak dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

Beliau menjelaskan, isu-isu yang dibincangkan termasuklah pelan pemulihan parti dan beberapa inisiatif untuk membaiki imej Umno setelah keputusan buruk dalam pilihanraya umum, Mac lepas.

Cadangan daripada beberapa urusetia yang dibentuk dalam permukiman Umno di Shah Alam pada Jun lepas turut dikemukakan, tambahnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan perinciannya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berlangsung kira-kira tiga jam.

Hujung minggu lepas, presiden Umno melahirkan rasa tidak senangnya terhadap kenyataan Muhyiddin yang menganggap tempoh berkempen selama empat bulan, antara November hingga Mac, "terlalu panjang."

Kenyataan tokoh Johor itu dilaporkan satu usaha halus untuk mendesak Abdullah berundur lebih awal daripada yang dirancang Mac ini - keputusan terbaru yang dicapai dalam mesyuarat khas MT bulan lepas.

Abdullah pada asalnya merancang melaksanakan pelan penyerahan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada pertengahan 2010.

Sementara Datuk Seri Dr Rais Yatim, seorang anggota MT, pula berkata isu rasuah semasa kerancakan kempen pemilihan cawangan yang berlalu dan bahagian yang sedang dijalan turut disuarakan.

"Kita serahkan kepada pucuk kepemimpinan untuk mengumumkannya," kata ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut.

Diskusi majlis itu tertumpu kepada hala tuju dan persoalan berhubung kedudukan Umno dalam kalangan orang Melayu.

Isu-isu pentadbiran, dasar dan mekanisme dalaman Umno turut dibincangkan.

ADS