Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco: Peneroka tanah diperdaya k'jaan Pakatan 'prihatin'
Diterbitkan:  Oct 21, 2008 1:36 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Beberapa sindiket menjual tanah Perak secara haram dengan memberi gambaran kepada peneroka haram bahawa kerajaan Pakatan Rakyat itu "prihatin" dan tidak akan bertindak tegas.

"Mereka memberi mesej konon kerajaan sekarang akan mengurniakan tanah yang diterokai itu dengan hanya mengenakan denda atau penalti sahaja...

"Kita ingin memberi amaran jangan melanggar undang-undang kerana kerajaan negeri tidak membenarkan tanah diterokai secara haram," tegas pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam, Nga Kor Ming.

Menurut Bernama , beliau berkata mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

"Mereka (sindiket) turut menggunakan nama beberapa exco bagi tujuan menipu mangsa," beliau dipetik berkata.

Tanah bagi tujuan pertanian di daerah Batang Padang dan Manjung dijual dengan harga RM500 hingga RM5,000 seekar.

Nga menambah, kegiatan itu dikesan sejak beberapa bulan lepas dan tidak kurang 10 mangsa dipercayai telah terpedaya, lapor agensi berita itu lagi.

"Kita harap mangsa membuat laporan polis serta membuat aduan kepada kerajaan negeri supaya siasatan dapat dijalankan bagi mengenal pasti dalang terbabit dan tindakan dilakukan bagi mencegah kegiatan berterusan...

"Kita tahu mereka kena tipu dan ada yang malu untuk tampil," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ipoh hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan negeri Mohd Zainuddin Mohd Yusof yang hadir di sidang akhbar itu, mengingatkan bahawa isu penerokaan tanah secara haram boleh merosakkan alam sekitar.

"Isu ini bukan setakat terokai tanah sahaja tetapi perbuatan itu menimbulkan masalah yang lebih besar kerana ia menganggu hutan simpan dan kawasan tadahan air.

"Ia menganggu ekologi dan menyebabkan pelbagai masalah seperti banjir. Mana boleh ganggu hutan sesuka hati," katanya.

ADS