50,000 pekerja kontrak k'jaan mungkin diberhenti

Muda Mohd Noor        

Kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak menghadapi kemungkinan besar ditamatkan perkhidmatan akhir tahun ini, kata Presiden Cuepacs, Omar Osman.

Beliau berkata, pihaknya telah maklumkan oleh ramai kakitangan terbabit bahawa kontrak mereka tidak disambung.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Omar berkata, penamatan kontrak mereka ditamatkan atas alasan prestasi dan produktiviti pekerja.

Ditanya sama ada ianya kerana kerajaan menghadapi kekangan kewangan, beliau berkata, ia mungkin disebabkan tiada lagi peruntukan gaji untuk kakitangan awam kontrak.

Bagaimanapun, katanya, Cuepacs tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan, kerana yakin kerajaan masih mampu mengekalkan perkhidmatan mereka.

Sehubungan itu, katanya, pihak Cuepacs akan menemui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, tambah Omar, pihak akan menemui JPA selepas mengadakan kongres khas Cuepacs di Kota Kinabalu pada 14 hingga 16 November depan.

Golongan ini merupakan kakitangan yang kontrak perkhidmatan mereka disambungkan dari setahun ke setahun.

"Cuepacs juga akan mengadakan perjumpaan dengan kakitangan kontrak di Kelantan pada 6 November depan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya," katanya.

Ditukar status

Selepas itu, kata Omar, perjumpaan yang sama akan diadakan dengan pekerja awam kontrak di negeri-negeri lain.

Sebelum itu, kata beliau, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan JPA untuk menyerapkan kakitangan awam kontrak menjadi kakitangan tetap.

Tetapi, kata Omar, ia perlu kebenaran dan kelulusan dari jabatan tempat mereka bekerja sekarang.

Cuepacs juga, katanya, telah mendapat tahu bahawa kakitangan kontrak yang belum menerima surat ditamat perkhidmatan, telah ditukar status kepada pekerja awam sambilan.

"Cuepacs merasakan ia adalah satu tindakan bagi memudahkan pihak jabatan menamatkan perkhidmatan mereka kemudiannya," katanya.

Pekerja kontrak yang diberhentikan itu, tambahnya, masing-masing telah lama berkhidmat antara lima hingga 15 tahun.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Omar menegakan, Cuepacs mencadangkan supaya mereka dikekalkan sebagai sebagai kontrak untuk selama-lamanya dan tidak diserapkan sebagai kakitangan tetap.

"Atau kerajaan mencari kaedah lain supaya pekerja-pekerja ini dapat dikekalkan di jabatan masing-masing," kata Omar.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In