Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beluran: Mengapa undi calon ketua Pemuda dikira semula

Pengerusi jawatankuasa pemilihan mesyuarat Pemuda Umno bahagian Beluran, Abdul Wahab Ghani memperjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung pengiraan semula undi bagi pencalonan jawatan ketua Pemuda pusat di bahagian tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Abdul Wahab berkata, kekeliruan itu timbul kerana para perwakilan pemuda bahagian tersebut tersalah memasukkan ketas undi ke dalam tong yang disediakan.

Apa yang berlaku, katanya, ada perwakilan yang memasukkan undi bagi pencalonan ketua Pemuda pusat ke dalam tong undi bagi jawatan pengerusi tetap.

Abdul Wahab menjelaskan, enam atau tujuh undi yang dimasukkan ke dalam tong tersebut, yang sepatutnya dimasukkan ke dalam tong ketua Pemuda.

"Saya beranggapan ada (kertas undi) yang mencurigakan, jadi saya mengarahkan diadakan kiraan semula pada malam tersebut," kata Abdul Wahab yang juga bekas ketua Pemuda bahagian tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa arahan pengiraan semula lewat dibuat kerana mahu menghabiskan semua pengiraan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dan tidak mahu ada ada undi-undi yang tertinggal.

Selain bagi jawatan ketua pemuda dan naib ketua pusat, Abdul Wahab berkata, jawatankuasa itu juga mengendalikan pemilihan di peringkat bahagian bagi jawatan pengerusi tetap, ketua pemuda bahagian, ahli jawatankuasa pemuda bahagian dan perwakilan ke ke persidangan agung Umno Mac depan.

Malaysiakini difahamkan pada pengiraan pertama, ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mendapat 110 undi; bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 93 undi manakala ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapat 21 undi.

Nafi berlaku sabotaj

Bagaimanapun, selepas pengiraan semula, jelas Abdul Wahab, kemenangan memihak kepada bekas menteri Besar Selangor itu di mana beliau mendapat 103 undi, Mukhriz (99 undi) manakala Khairy kekal 21 undi.

Menurut Abdul Wahab terdapat kira-kira 40 undi rosak.

Sementara itu, menurut sumber yang boleh dipercayai, seorang ahli jawatankuasa pemuda bahagian tersebut membantah keputusan untuk pengiraan semula.

Menurut sumber itu lagi, ada pihak yang mempersoalkan mengapa mahu mengadakan pengundian semula dibuat selepas enam jam pengundian berlangsung.

"Mereka mendakwa ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang tidak baik berlaku. Mungkin ada sabotaj," kata sumber lagi.

Abdul Wahab bagaimanapun menafikan dakwaaan berlaku sabotaj atau penipuan dalam proses pemilihan jawatan ketua pemuda.

"Kita buat yang terbaik, dan tidak ada kepentingan apa-apa," katanya.

Menurut Abdul Wahab lagi, laporan mengenai perjalanan pemilihan mesyuarat tersebut, telah diserahkan kepada ibu pejabat Pemuda di Kota Kinabalu, sehari selepas persidangan tersebut.

ADS