Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantah Low: Fikiran Melayu 'di takuk lama,' kata DAP

kemaskini 9:24pm Cara penolakan Low Siew Moi sebagai pemimpin sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan pemikiran orang Melayu masih di takuk lama walaupun negara sudah maju dalam pembangunan, kata seorang pemimpin DAP.

"Bangsa kita masih terikat dengan cara berfikir dan bertindak gaya lama yang sudah tidak ada tempat dalam sebuah masyarakat moden yang demokratik," kata naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini.

Low yang dilantik memangku pengurus besar perbadanan itu mulai kelmarin mendapat bantahan pemimpin-pemimpin Melayu, termasuk Persatuan Pegawai Kanan PKNS dan exco PAS dalam kerajaan Selangor yang mahu seorang pegawai tinggi Melayu menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara akhir bulan ini.

Tunku Abdul Aziz menambah, bantahan terhadap latar belakang kaum pegawai kanan wanita keturunan Cina itu, atau mungkin jantinanya, menunjukkan wujudnya budaya yang tidak mengutamakan merit, sebaliknya mengharapkan faktor-faktor kurang relevan.

low siew moi and pkns selangor "Pelantikan disandarkan pada pertimbangan yang kurang relevan kaum dan agama," kata Tunku Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa pelantikan pemimpin agensi kerajaan itu menjadi hak mutlak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan berharap keputusan itu dihormati.

Mengulas bantahan pihak-pihak itu, Abdul Khalid hari ini dilaporkan berkata beliau "tidak faham" perasaan tidak berpuas hati pihak-pihak itu tetapi mereka sendiri tidak risau apabila PKNS didakwa kehilangan berbilion-bilion ringgit.

Beliau juga berkata Low, yang berkhidmat 35 tahun dengan perbadanan ekonomi itu, bersedia membantu mencari pengganti yang sesuai untuk jawatan itu.

Low bersara tahun ini tetapi disambung perkhidmatannya selama setahun lagi sementara menunggu calon sesuai pengurus besar PKNS.

Sementara itu, exco kanan kerajaan Selangor, Teresa Kok berkata Low seorang arif tentang organisasi tersebut dan sentiasa bertindak bagi kepentingan PKNS, termasuk sewaktu berurusan dengan pelabur.

"Beliau umpama 'kamus bergerak', bukan pada saya sahaja, tetapi pada kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Beliau berpengalaman selok-belok dalam dunia pelaburan bahkan mengenali ramai pelabur dan pemaju di negeri ini dan beliau juga mempunyai latar belakang dalam pelbagai isu," kata Teresa di blognya semalam.

Beliau turut menyindir bantahan terhadap pelantikan itu kerana Low bukan seorang pegawai kanan Melayu, “maka tidak boleh menjadi 'imam' kepada semua kakitangan”.

Manakala ketua Wanita MCA Chew Mei Fun pula menggesa Abdul Khalid bertegas dengan pendiriannya melantik Low dan tidak tunduk pada desakan, khususnya rakan kongsi pentadbirannya PAS.

Exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Mohamad Ali semalam mengadakan pertemuan dengan Abdul Khalid bagi membincangkan isu tersebut.

Dr Hasan selepas itu dipetik sebagai berkata, menteri besar bersedia memendekkan tempoh Low jika PAS mendapatkan calon penggantinya yang berkaliber dan berpengalaman.

Beliau, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, akan bermesyuarat bagi memilih calon yang sesuai untuk diketengahkan bagi mengisi jawatan itu.

Chew juga membidas Dr Hasan dan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang membantah pelantikan Low kerana pegawai itu seorang wanita dan bukan Melayu.

Ketua Wanita itu menambah, dalam zaman globalisasi sekarang bukan masanya untuk melantik seseorang pentadbir atasan berasaskan warna kulit atau jantina.

"Walaupun saya berbeza ideologi dengan Tan Sri Khalid, saya bagaimanapun percaya pada amanah dan keyakinan menteri besar Selangor terhadap keupayaan wanita memimpin PKNS," katanya.

ADS