Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Orang ramai tidak perlu keliru kerana penyerahan kuasa dalam Umno dan jawatan perdana menteri adalah dua perkara yang berbeza, kata pemimpin Umno hari ini.

Oleh kerana itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih boleh menjalankan tugas perdana menteri walaupun beliau tidak lagi memegang presiden Umno mulai hujung tahun ini – jika pemilihan parti dan mesyuarat agung diadakan Disember nanti.

Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang bermesyuarat Jumaat, akan memutuskan sama ada untuk mengadakan pemilihan hujung tahun ini seperti jadual asal selepas menundanya ke Mac tahun depan.

Ketua bahagian Lumut, Datuk Dr Zambery Kadir berkata, tugas perdana menteri berbeza dengan presiden parti.

"Jika parti (MT) masih memberi kepercayaan kepada Abdullah untuk menjalankan tugas-tugas perdana menteri, beliau masih perdana menteri walaupun bukan lagi presiden Umno.

"Perlu difahami, peralihan kuasa jawatan perdana menteri daripada Abdullah kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak ialah pada Mac tahun depan.

"Ini bermakna Abdullah masih lagi perdana menteri dan tentunya masih boleh menjalankan tugas tersebut.

"Saya juga tidak nampak sebarang masalah atau kesukaran yang akan dihadapi oleh Abdullah kerana MT setuju bahawa peralihan kuasa jawatan perdana menteri pada tahun depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Pada 25 September lalu, MT menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan parti sebagai sebahagian rancangan mempercepatkan peralihan kuasa Abdullah, asalnya dijadual pertengahan 2010.

Bagaimanapun beberapa pemimpin utama Umno menyifatkan tempoh berkempen, antara tamat pemilihan bahagian bulan depan hingga Mac, “terlalu lama” dan boleh menggalakkan politik wang.

Dr Zambery menambah, seingatnya Tun Hussein Onn menyerahkan jawatan presiden Umno kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada November 1981 tetapi menyerahkan jawatan perdana menteri pada Mac 1982.

"Samalah situasinya sekarang kerana tempohnya hanya tiga bulan. Saya yakin tidak akan berlaku perkara yang tidak diingini kepada parti dan kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, ketua bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ahli dan penyokong Umno akan hilang kepercayaan kepada parti jika keputusan MT sering berubah-ubah.

Katanya, rata-rata ahli Umno percaya perhimpunan agung Umno akan diadakan pada bulan Mac, sama dengan penyerahan kuasa Abdullah kepada Mohd Najib.

"Buat apa nak alih-alih lagi kerana tarikh Mac itu semua sudah setuju. Yang saya tahu orang Umno di peringkat cawangan kata perhimpunan agung parti pada Mac.

"Kalau hari ini kata lain, esok nak tarikh lain, Umno akan punah. Kita minta mereka bersabar sedikit, jangan hendak jawatan sahaja," katanya lagi.

Manakala ketua Umno bahagian Gelang Patah pula sependapat dengan Dr Zambery.

Datuk Aziz Shapian menasihati orang ramai khususnya ahli Umno agar tidak risau jika Abdullah masih perdana menteri walaupun bukan lagi presiden Umno.

"Di beberapa negara Afrika, kita mendapati presiden tidak semestinya seorang presiden parti politik.

"Jadi isu perdana menteri bukan seorang presiden Umno tidak perlu diperdebatkan kerana tempohnya hanya tiga bulan sahaja.

"Dalam tempoh tersebut, Abdullah boleh menyiapkan kerja-kerja akhir sebelum menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS