Umno bahagian Batu Sapi terkejut apabila badan perhubungan Umno negeri mengatakan bukti mesyuarat bahagian pada 18 Oktober lalu tidak sah kerana tidak mengikut peraturan parti.
"Dakwaan kami tidak mengikut perkara 3.6 peraturan mesyuarat sebagaimana yang dibuat oleh pemantau badan perhubungan Umno Sabah boleh dipertikaikan.
"Walaupun mesyuarat bahagian tanpa wakil Pemuda dan Wanita, mengikut perlembagaan parti ia masih sah," kata ketua baru bahagian tersebut Datuk Samsuddin Yahya.
Dalam mesyuarat itu, Samsuddin mengalahkan penyandang Datuk Juhar Mahiruddin dengan majoriti besar.
Beliau mendapat 236 undi, manakala Juhar, yang juga speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, cuma 12 undi.
Daripada 180 cawangan dalam bahagian itu, seramai 480 perwakilan hadir dalam mesyuarat dua minggu lalu.
Samsuddin diminta mengulas keputusan jawatankuasa pemantau badan perhubungan Umno Sabah yang menyatakan persidangan bahagiannya "tidak sah kerana perjalanan mesyuarat tidak mengikut perlembagaan parti."
Setiausaha perhubungan negeri Datuk Yahya Hussin hari ini dilaporkan berkata mesyuarat jawatankuasa pemantau 25 Oktober lepas meminta Umno bahagian itu menetapkan tarikh baru untuk bermesyuarat semula.
Mengulas perkara tersebut, Samsuddin yang juga wakil rakyat Sekong berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat perhubungan Umno negeri untuk menjelaskan perkara sebenar.
"Umno bahagian telah membuat persediaan sepenuhnya termasuk menempah hotel kepada perwakilan yang jauh dari tempat ini serta makanan untuk mesyuarat pada 18 Oktober.
"Notis mengenai mesyuarat tersebut juga telah dikeluarkan tujuh hari lebih awal seperti yang disyaratkan oleh perlembagan parti," katanya.
Bagaimanapun, Samsuddin menjelaskan pihaknya kini sedang menunggu arahan baru daripada badan perhubungan Umno negeri untuk mengadakan semula mesyuarat bahagian.
Menurut ketua Pemuda bahagian Faizal Ampong, mesyuarat semula perwakilan bahagian akan diadakan 9 November ini, manakala mesyuarat pergerakan Pemuda dijadual sehari sebelumnya.
"(Pada mesyuarat lalu), sebahagian perwakilan tidak dapat ditentukan cawangan mereka dan ini menyebabkan ia menimbulkan keraguan," katanya.
Dalam mesyuarat lepas, bahagian itu mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin (timbalan presiden), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Khaled Nordin (semuanya naib presiden).
