Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah terima kenyataan Azilah, Sirul
Diterbitkan:  Oct 31, 2008 7:43 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Mahkamah Tinggi menerima kenyataan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) berhubung pendedahan lokasi wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu ditembak dan mayatnya diletupkan dan

penemuan barangan kemasnya sebagai keterangan pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata tiada keterangan menyakinkan dan alasan kukuh untuk mahkamah mengecualikan maklumat yang diberikan oleh Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada keterangan pendakwaan.

Zaki juga menolak permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti dua saksi dalam perbicaraan itu dan memutuskan mereka adalah saksi yang berwibawa, demikian menurut laporan Bernama.

Selain keputusan utama sama ada akan memanggil tertuduh untuk membela diri atau membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh, mahkamah juga perlu membuat keputusan terhadap empat isu iaitu:

bullet button Prosiding pendakwaan terhadap Lans Koperal Rohaniza Roslan, bekas teman wanita Azilah. Rohaniza sepatutnya menjadi saksi utama pendakwaan, tetapi pendakwaan telah memohon untuk mencabar kredibilitinya kerana memberikan kenyataan bercanggah dalam keterangannya dan dalam kenyataan polis sebelum ini.

Keterangannya adalah berkaitan dengan apa yang berlaku pada malam Altantuya dilaporkan hilang pada 19 Oktober 2006. Rohaniza juga disiasat bagi sumpah bohong selepas pegawai penyiasat kanan ASP Tonny Lunggan membuat laporan polis terhadapnya.

bullet button Prosiding pendakwaan terhadap Deputi Superintendan Yusri Hasan Basri, juga anggota UTK. Pendakwaan memohon untuk mendakwanya bagi memberikan jawapan bercanggah dalam kenyataannya kepada polis dan keterangannya dalam mahkamah. Keterangan Yusri berkisar mengenai pangsapuri Sirul Azhar di Kota Damansara pada 7 November 2006 semasa polis pergi ke rumah itu untuk mengambil

barangan kemas Altantuya.

bullet button Perbicaraan dalam perbicaraan terhadap kenyataan Azilah yang didakwa diberikan kepada polis. Semasa perbicaraan, seorang saksi, Cif Inspektor Koh Fei Chow mendakwa Azilah memberitahunya yang dia boleh menunjukkan kepada polis tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan.

bullet button Perbicaraan dalam perbicaraan terhadap kenyataan Sirul Azhar yang didakwa diberikan kepada polis bahawa barangan kemas Altantuya (jam tangan Larmes, sebentuk cincin dan sepasang anting-anting) disimpan dalam jaket kulit hitam dalam bilik di pangsapurinya di Kota Damansara. Seorang lagi saksi ASP Zulkarnain Samsudin, memberikan keterangan yang Sirul Azhar mendedahkan tempat barangan kemas Altantuya.

Keterangan saksi

Zaki, dalam keputusannya berhubung isu pertama iaitu mencabar kredibiliti Rohaniza, berkata penjelasan yang diberikan oleh Rohaniza mungkin tidak memuaskan sepenuhnya, tetapi kredibilitinya berdasarkan keterangannya secara keseluruhan dan keterangan saksi lain pendakwaan akan diambil kira.

Mengenai isu kedua iaitu mencabar kredibiliti Mohd Yusri, Zaki berkata penjelasan Mohd Yusri mungkin tidak memuaskan sepenuhnya, kredibilitinya jika mengambil kira keterangan saksi lain pendakwaan dan fakta kenyataan polis yang relevan telah direkodkan kira-kira 10 bulan selepas kejadian akan diambil kira.

Mengenai isu ketiga dan keempat berhubung kenyataan Azilah dan Sirul Azhar, Zaki berkata tiada alasan menyakinkan untuk mengecualikannya daripada menjadi sebahagian keterangan pendakwaan.

Hari ini, Hakim Zaki membebaskan dan melepaskan penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu.

Azilah dan Sirul Azhar diperintah membela diri bagi pertuduhan membunuh Altantuya selepas memutuskan pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap mereka.

Zaki memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak. Beliau menetapkan 10 November bagi Azilah dan Sirul Azhar, kedua-duanya anggota UTK untuk membela diri.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, dituduh membunuh Altantuya, ketika itu berumur 28 tahun di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Abdul Razak, 48, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 pagi 19 Oktober 2006.

Sabit kesalahan, pertuduhan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

ADS