Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tutup balai bukan takut penjenayah, kata menteri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar menafikan balai polis Lorong Haji Taib ditutup kerana anggotanya takut kepada penjenayah di kawasan tersebut.

syed hamid albar visit new chow kit police station 061108 04 Sebaliknya, katanya, balai polis tersebut ditutup kerana premisnya telah diambil pemiliknya iaitu RHB untuk dijadikan kawasan perdagangan.

"Kalau kata begitu (takut kepada penjenayah) ia seolah-olah polis takut kepada penjenayah, sedangkan tugas polis tangkap penjenayah," katanya kepada wartawan selepas melawat balai polis Lorong Raja Bot di Chow Kit hari ini.

Syed Hamid berkata beliau juga memberi jawapan yang sama ketika menjawab soalan ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' Ghazali di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam jawabannya kepada ahli Parlimen Titiwangsa itu, Syed Hamid dilaporkan berkata, balai polis Lorong Haji Taib ditutup demi keselamatan anggotanya kerana kawasan itu banyak kegiatatan jenayah.

"Saya mengakui telah memberi kesilapan fakta ketika menjawab soalan itu kerana ia ditutup disebabkan premis itu telah diambil balik oleh pemiliknya," katanya.

Walaupun balai polis itu ditutup, tetapi Syed Hamid berkata, masih terdapat balai polis Lorong Raja Bot di kawasan Chow Kit.

Tumpuan pendatang

Bagaimanapun, katanya, premis balai tersebut sempit dan hanya boleh menampung 10 anggota polis dengan empat kenderaan pelbagai guna.

syed hamid albar visit new chow kit police station 061108 01 Berikutan itu, katanya, sebuah balai polis baru akan dibina di sebidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di situ.

"Walaupun balai polis ini kecil tetapi ia boleh mengawal keadaan jenayah di kawasan ini. Orang tidak menggunakan tempat ini (Chow Kit) sebagai transit untuk melakukan jenayah.

"Dulu Chow Kit tempat bermacam orang berkumpul tetapi tidak boleh dikategori sebagai kawasan hitam walaupun pelbagai aktiviti berlaku di sini," katanya.

Selain balai polis Raja Bot, katanya, kawasan sekitar Chow Kit juga di kelilingi balai polis lain, termasuk balai polis Dang Wangi.

Ditanya mengenai Chow Kit yang menjadi kawasan tumpuan pendatang, Syed Hamid berkata, polis akan mengambil tindakan ke atas pendatang tanpa izin.

"(Tetapi) saya tengok orang yang berniaga di sini, dari segi bahasanya, (mereka) orang dari pantai timur," katanya.

ADS