Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perniaga terbunuh tangki gas van meletup
Diterbitkan:  Nov 8, 2008 4:36 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Seorang peniaga terbunuh manakala abangnya dan seorang pembantu mereka cedera setelah tangki gas pada van mereka meletup semasa mereka mengisi gas di sebuah stesen minyak di Batu Berendam di Melaka malam tadi.

Menurut laporan pasukan bomba, tangki gas van tersebut merupakan sebuah tangki gas memasak LPG biasa yang diubahsuai untuk mengisi gas NGV.

Akibat kejadian 7.50 malam itu, Mohd Helmi Ishak, 25, dari Kampung Duyung mati dengan kecederaan pada usus perut, belakang badan sementara kaki kirinya hancur, demikian menurut laporan Bernama.

Dia dilaporkan meninggal di Hospital Melaka kira-kira 1.30 pagi, lima jam selepas kejadian dan mayatnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Mas tengah hari ini.

Abangnya Rosli, 30, dan pembantu mereka, Razali Mohd Zin, 31, hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di hospital yang sama.

Seorang saksi kejadian berkata, semasa kejadian itu, van yang dinaiki ketiga mangsa sedang diisi gas NGV apabila tong gas kenderaan mereka tiba-tiba meletup.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Jalan Kubu yang diketuai Komander Operasi, Mokhtar Othman berkata sewaktu pasukan itu tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.15 malam, mereka mendapati van jenis Toyota Lite Ace itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

"Pintu van sebelah kiri tertanggal akibat impak gas yang meletup. Kami menemui sebuah tangki gas memasak LPG yang telah diubahsuai untuk mengisi gas NGV di kenderaan tersebut," katanya.

Bapa mertua Mohd Helmi, Samin Ibrahim ketika ditemui Bernama di Hospital Melaka berkata menantunya itu baru bernikah dengan anaknya, Noor Shahira Samin, 23, empat bulan lepas.

"Menantu saya berniaga dengan membeli serta membaiki barangan elektrik terpakai bersama abangnya (Rosli) dan sering ke Singapura untuk membeli barangan elektronik dan menjual semula di sini," katanya.

ADS