Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga minyak dijangka turun lagi
Diterbitkan:  Nov 9, 2008 5:57 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Harga minyak dijangka turun lagi pada pertengahan bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Pada awal bulan ini, kerajaan telah menurunkan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 15 sen.

Ini berikutan harga purata minyak yang berada di paras AS$70 setong pada masa ini, kata Shahrir.

"Oktober lalu harga minyak berada di paras AS$74-AS$77 dan menurun kepada AS$70 semasa lapan hari terakhir bulan tersebut," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Shahrir berkata, harga niaga hadapan minyak iaitu pada bulan Disember juga menunjukkan ia akan berada pada paras di bawah AS$70, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Trend harga minyak yang menurun itu, katanya, akan membolehkan harga minyak di pam-pam stesen minyak dikurangkan lagi pada harga yang berpatutan.

Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Ia merupakan kali keempat kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Harga minyak pesawat

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.

Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Mengenai kenaikan harga minyak pesawat ringan, Shahrir berkata ia bukan bahan yang dikawal oleh kerajaan.

Katanya, kenaikan harga minyak tersebut dari RM6.20 kepada RM9.53 seliter di Kuala Lumpur dan RM9.80 seliter di Langkawi adalah berikutan kekurangan bekalan bahan itu.

Harga minyak yang diimport dari Amerika Syarikat, Australia dan Thailand itu ditentukan oleh penjualnya.

Kenaikan itu, katanya, adalah sementara dan dijangka kembali normal tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan akan melihat kemungkinan membuka penjualan minyak ini kepada pihak lain selain Petronas.

Beberapa sekolah penerbangan dan pemilik pesawat ringan peribadi dilaporkan merungut berikutan kenaikan harga minyak itu yang jauh berbeza dengan harga yang dijual di negara jiran Singapura pada S$2.61 (RM6) seliter.

ADS