Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Ketua Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil tidak akan mencabar Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan ketua pergerakan itu dalam pemilihan Mac depan.

Exco Wanita Umno yang bermesyuarat hari ini juga sebulat suara memutuskan jawatan naib ketua juga tidak akan dipertandingkan.

wanita umno exco meeting 101108 01 Ini bermakna Rafidah dan Shahrizat akan menang tanpa bertanding dalam pemilihan pergerakan itu kali ini.

Mesyuarat hari ini juga setuju dengan pelan peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun tahun depan.

Perkara itu diumumkan Rafidah dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut hari ini.

Shahrizat yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut berkata, beliau akur dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, beliau juga akan bertemu dengan exco Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim yang layak bertanding jawatan naib, tetapi tidak menghadiri mesyuarat hari ini dan mesyuarat sebelumnya.

"Saya percaya beliau pun, sebagai pemimpin dalam exco, kita harus tengok gambaran yang lebih besar. Jika inilah yang dimahukan oleh exco, Tan Sri Rafidah dan Wanita (Umno) kebanyakannya, maka saya yakin kita mampu menyelesaikanlah isu-isu ini (peralihan kuasa) dengan secara damai dan terhormat," katanya.

Mesyuarat exco Wanita hari ini menjadi tumpuan selepas Shahrizat mengeluarkan kenyataan malam tadi memohon Rafidah supaya menimbang mempercepatkan tarikh peralihan kuasa antara mereka berdua.

Pencalonan bahagian

wanita umno exco meeting 101108 03 Selepas bahagian Umno selesai bermesyuarat semalam, Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu.

Rafidah pula mendapat 116 pencalonan bagi mempertahankan jawatannya Mac depan.

Dalam kenyataan itu juga, Shahrizat berkata Rafidah mengumumkan pelan peralihan jawatan itu Ogos lalu, sewaktu pemilihan parti dijadualkan berlangsung Disember ini.

Manakala tarikh peralihan kuasa antara Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika itu dijadualkan pada 2010.

Oleh itu, Shahrizat berkata, permohonannya itu adalah seiring sejalan dengan Umno induk, Pemuda, Puteri pada Mac 2009 sempena perhimpunan agung Umno iaitu tiga bulan lebih awal daripada bulan Jun.

Sebelum ini beberapa ketua Wanita bahagian secara terbuka menyuarakan pandangan mereka meminta Rafidah menyerahkan jawatan ketua pergerakan itu kepada Shahrizat Mac depan.

Menurut mereka, sekiranya Rafidah masih mahu menyerahkan kuasa pada Jun depan, ia bermakna Shahrizat akan menjadi pemangku ketua sehingga 2011.

Pandangan akar umbi

Bagaimanapun, menurut mereka lagi, adalah lebih baik Shahrizat menjadi ketua pergerakan tersebut bagi memudahkan usaha memulihkan Umno yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Menurut Rafidah lagi, keputusan tersebut dibuat sebulat suara demi perpaduan dalam Umno ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Ketika diminta mengulas pencalonan besar yang diterima oleh Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua Wanita, Rafidah menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang baik.

"Mereka bersedia Shahrizat sebagai ketua. Saya senang hati. Kalau dia calonkan orang lain, risau saya. Kalau dia calonkan orang lain, entah siapa-siapa, risau saya.

"Saya hendak Shahrizat (sebagai pengganti), sudah calonkan Shahrizat sebagai pengganti saya. Kalau orang lain pula jadi calon (pengganti), ia menunjukkan Wanita tidak mahukannya.

"Sekurang-kurangnya ia (pencalonan Shahrizat) tunjukkan ukuran bahagian bersedia menerima. Cuma tunggu sekejaplah," katanya.

Rafidah juga ditanya mengenai jawatan naib selepas Shahrizat memangku jawatan ketua Wanita Jun depan.

Katanya, perkara itu tidak timbul "kerana dalam Wanita Umno kita bergerak sebagai satu pasukan".

Menurutnya, semua orang akan bekerjasma dengan calon yang dilantikan nanti.

Rafidah juga menafikan bahawa keputusan mesyuarat exco Wanita hari ini menafikan hak bahagian yang membuat pencalonan jawatan tinggi dalam pergerakan tersebut.

"Kita dah kata tidak ada pertandingan...," tambahnya.

wanita umno exco meeting 101108 04 Shahrizat pula diminta mengulas mengenai kenyataannya semalam berkata, "Saya hanya nak kongsi pandangan..."

Bagaimanapun, katanya, beliau telah mendengar alasan yang dibincangkan hari ini dan pandangan akar umbi sebelum ini.

Sehubungan itu, Shahrizat berkata, beliau menghormati pandangan kepimpinan dan menerima keputusan tersebut.

"Hari ini kita telah berbincang. Saya tanya Tan Sri Rafidah sama ada setuju atau tidak (peralihan awal), dan kita buka untuk perbincangan. Saya dapati mereka meminta, demi perpaduan Wanita Umno, untuk mengukuhkannya, maka kita kekalkanlah pada bulan Jun," katanya.

Menurut Shahrizat lagi, telah menjadi tadisi semua pemimpin Wanita Umno memberi keutamaan kepada parti.

Sementara itu, Rafidah pula berkata beliau akan memanggil mesyuarat Wanita BN.

"Dalam Wanita BN, banyak juga ketua-ketua baru. Saya hendak memudahkan kerja-kerja Shahrizat kerana beliau juga akan jadi ketua Wanita BN.

"Maka eloklah sebelum saya pergi, (saya) memastikan kerja asas kita dalam BN kita buat sekarang (bagi menghadapi pilihanraya akan datang)," tambahnya.

ADS