Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Batu Caves membantah cadangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk mengambil balik urusan penyewaan gerai-gerai di bawah Projek Luar Bandar (PLB) yang dikendalikan oleh JKKK.

Mereka meminta MPS membatalkan hasrat itu kerana hasil sewaan gerai-gerai itu diperlukan untuk tabung kebajikan dan aktiviti di kampung-kampung.

Perbelanjaan itu termasuklah membantu kebajikan warga kampung, kos menjaga keselamatan di kampung dan bagi menggerakkan aktiviti kemasyarakatan.

Bagaimanapun, mereka mendakwa tidak semua daripada kawasan tadbiran JKKK di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang mendapat manfaat daripada projek itu.

Sehubungan itu, mereka turut menuntut MPS menyegerakan penyerahan gerai-gerai miliknya bagi membantu pentadbiran di kampung-kampung.

MPS awal bulan ini bercadang mengambil balik urusan penyewaan kira-kira 500 gerai miliknya yang kini dikendalikan oleh JKKK dalam kawasan Selayang, ekoran aduan yang penyewa mereka dikenakan kadar sewa yang terlalu tinggi.

Ada antara JKKK terbabit didakwa mengenakan sewa berlebihan sehingga lebih 300 peratus terhadap gerai-gerai MPS yang diuruskan mereka.

Ketua Bahagian Komunikasi Koperat MPS, Muhamad Zin Masoad sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat supaya pembinaan gerai itu dapat memberi terus kepada penyewanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi JKKK Kampung Laksamana, Nordin Abdul Majid yang hanya mentadbir sebuah gerai di tempatnya menyifatkan hasrat MPS itu sebagai "tidak adil".

‘PLB hak orang kampung'

"Kalau ambil balik, kita tidak ada duit, kosong. Sukar hendak bergerak. Lagipun, macam mana hendak jelaskan hutang beribu-beribu yang ditinggalkan JKKK dulu," katanya.

Menegaskan bahawa gerai-gerai PLB itu sebagai hak orang kampung, Nordin berkata, amalan pemberian gerai itu di bawah pentadbiran kumpulan pentadbir kampung itu sudah puluhan tahun berjalan.

Nordin berkata, pihaknya cuma meneruskan seperti amalan sebelumnya.

"Harga sewa pun kita tidak naikkan, kita cuma ikut harga lama," katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Nakhoda, Zakaria Mamat pula berkata, atas dasar kewajipan sosial, MPS tidak wajar meneruskan hasrat mengambil alih gerai-gerai PLB dari tangan JKKK.

Beliau mendakwa, peruntukan melalui wakil rakyat "bukan senang" dan "terhad".

"Peruntukan lama sudah dihabiskan kerajaan dulu. Kena tunggu tahun depanlah," katanya.

Jika pengambilalihan itu berlaku, katanya, mereka tiada pilihan lain selain membuat kutipan daripada penduduk untuk menjalankan aktiviti.

‘Kena kutip derma'

"Tetapi takkan setiap hari nak kena kutip derma," tambah beliau.

Pengerusi JKKK Kampung Baru Batu Caves, Adnan Mohd Yatim; Pengerusi JKKK Sungai Tua Baru, Ramli Jamaluddin; dan pengerusi JKKK Sungai Kertas, Osman Omar pula mendakwa tidak mendapat sebarang manfaat daripada projek itu.

Kata mereka, bukan semua JKKK yang mendapat peruntukan itu.

Bagaimanapun, mereka turut menentang cadangan pengambilalihan itu dan meminta pihak MPS menimbangkan memberikan peruntukan gerai PLB kepada JKKK yang belum mendapatnya.

Adnan berkata, tanpa peruntukan itu, JKKK "akan terpaksa minta sedekah".

"Sekurang-kurangnya kalau dapat bantu RM600 hingg RM700 sudah cukup," kata Adnan.

Seorang lagi Pengerusi Kampung Melayu Batu Caves Khalid Mohd Noor tidak dapat dihubungi.

Gerai-gerai terbabit adalah sebahagian daripada kira-kira 2,300 gerai milik MPS yang terdapat dalam kawasan Selayang.

ADS