Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azhar tolak pemberian elaun untuk ketua pembangkang
Diterbitkan:  Nov 14, 2008 4:12 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim menolak pemberian elaun sebanyak RM1,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk jawatan tersebut.

azhar ibrahim Azhar berkata beliau akan mengesahkan penolakan elaun itu dalam persidangan DUN Isnin ini.

Peruntukan elaun itu yang terkandung dalam Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) (Saraan) (Pindaan) 2008 telah diluluskan sebulat suara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Bagaimanapun, Azhar yang juga Setiausaha Umno Pulau Pinang, berterima kasih dan menghargai kesungguhan kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri Lim Guan Eng atas inisiatif itu.

"Saya menghargai pemberian itu tetapi saya menolak peruntukan itu dan menyerahkannya semula kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2009 di sidang DUN itu hari ini.

Beliau berkata penolakan elaun itu dibuat atas beberapa sebab iaitu berdasarkan keadaan kegawatan ekonomi ketika ini, peruntukan itu lebih sesuai diguna untuk rakyat dan pembangunan negeri.

Selain itu Azhar tidak mahu dirinya terkongkong dan tidak bebas menyuarakan

pendapat serta merasa terhutang budi dengan kerajaan negeri kerana pemberian elaun itu.

"Sebab ketiga ialah saya tidak mahu diri saya dijadikan sebagai rujukan kepada negeri-negeri lain supaya ketua pembangkang diberi elaun," katanya.

Ditanya sama ada terdapat faktor lain yang menyebabkan beliau menolak pemberian itu, Azhar berkata: "Saya sendiri yang menolak elaun ini...Ini keputusan peribadi saya kerana wang itu juga untuk kegunaan peribadi saya. Jumlah elaun itu juga bukan persoalan utama".

ADS