Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa: PM akan jumpa Wanita Umno
Diterbitkan:  Nov 18, 2008 12:50 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menemui pemimpin Wanita Umno sekembalinya ke tanahair dari lawatan ke dua negara Asia Tengah sekarang, untuk menyelesaikan isu kepimpinan dalam pergerakan itu.

Perdana Menteri berkata, pada mulanya beliau berharap Wanita Umno dapat menyelesaikan sendiri masalah peralihan kuasa dalam pergerakan tersebut.

"Namun, masalah ini masih berlarutan dan tidak ada tanda ia akan reda, saya akan cuba bantu mereka," katanya kepada pemberita yang mengikuti lawatannya itu.

Menurut laporan Bernama, Abdullah kini berada di Uzbekistan untuk lawatan empat hari dan akan berlepas ke Turkmenistan esok sebelum pulang Khamis ini.

Abdullah, yang juga presiden Umno, berkata beliau berharap pemilihan dalam Wanita Umno tidak akan menyebabkan perpecahan kerana ini boleh melemahkan parti.

Masalah dalam pergerakan itu timbul apabila sebahagian ahli dan pemimpin peringkat bahagian dan negeri, mahu Tan Sri Rafidah Aziz mempercepatkan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada Mac ini, manakala sebahagian lagi mahukan ianya kekal pada Jun 2009.

Walaupun Shahrizat berkata beliau akur dengan pelan peralihan kuasa itu, namun sebanyak 73 bahagian Umno mencalonkan beliau bertanding jawatan ketua Wanita Umno dalam pemilihan parti Mac ini.

Abdullah berkata beliau tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam isu itu.

"Kalau saya sokong satu kumpulan, kumpulan yang satu lagi akan marah saya, dan jika saya sokong kumpulan yang satu lagi itu pula, kumpulan yang ini akan marah," kata Perdana Menteri.

ADS