Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semua syarikat konsesi lebuhraya, kecuali Lebuhraya KL-Putrajaya (KLPE), bersetuju perjanjian konsesi mereka dikelaskan semula, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamad.

plus incentive announcement 181108 mohd zin Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di ibunegara hari ini, beliau berkata, Kabinet membuat keputusan untuk mengkelaskan semula perjanjian konsesi itu pada 17 Oktober lalu.

Berikutan itu, kerajaan telah memperolehi persetujuan syarikat konsesi untuk mengkelaskan semula perjanjian konsesi mereka, kecuali dari Maju Expressway Bhd, yang mengendalikan KLPE.

Ditanya sama ada Maju Expressway enggan mematuhi arahan Kabinet, Mohd Zin berkata, beliau tidak pasti dan syarikat konsesi tersebut belum memberi jawapan.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan menerima keputusan daripada pihak pengurusannya berkenaan perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Mereka belum lagi bersetuju, tetapi saya rasa mereka mungkin akan bersetuju," katanya.

Menurutnya, pengkelasan semula itu akan berkuatkuasa selewat-lewatnya 1 Januari depan.

LLM uruskan

"Kabinet bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuhraya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas mendapat persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan klausa kerahsiaan yang termaktub dalam perjanjian terbabit.

"Selepas itu, saya telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk berurusan dengan syarikat konsesi bagi mendapatkan keputusan mereka supaya menjadikan umum perjanjian-perjanjian ini. Semua mereka telah bersetuju kecuali satu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Keputusan kerajaan untuk mengkelaskan semula perjanjian tersebut adalah berikutan banyak pihak yang mendakwa perjanjian itu berat sebelah yang lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.

Dengan mengkelaskan semula dokumen tersebut, orang ramai akan dapat meneliti semua aspek operasi syarikat konsesi lebuh raya termasuk aliran kewangan syarikat terbabit.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada orang awam perlu membeli dokumen tersebut atau mendapatkannya secara percuma.

Parti-parti pembangkang mengkritik kerajaan kerana kerahsiaan perjanjian konsesi tersebut dan dokumen yang dibocorkan menunjukkan kontraknya berat sebelah dan lebih menguntung syarikat pemegang konsesi.

ADS