Penjelasan kumpulan Raihan, Rabani dan Hijaz...

Tiga kumpulan nasyid terkenal - Raihan, Rabbani dan Hijaz - yang berakar umbi daripada pertubuhan al-Arqam yang diharamkan sepuluh tahun lalu, menjelaskan bahawa "mereka telah bersih sepenuhnya ".

Pengaruh ajaran al-Arqam yang diharamkan seperti Aurad Muhammadiah juga didakwa tidak tersebar dalam dunia hiburan nasyid arus perdana tanah air.

nasyid group album 181108 raihanAnggota Raihan, Abu Bakar Md Yatim yang pernah terlibat dalam pertubuhan itu berkata, penglibatan mereka dalam al-Arqam sebelum diharamkan pada 1994, lebih bersifat "ikut-ikut saja".

Tidak menafikan wujudnya kekeliruan ketika bergiat di dalam pertubuhan itu, Abu Bakar berkata, mereka ketika itu cuma hendak mengamalkan ajaran Islam seperti tidak meninggalkan solat dan menutup aurat.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua ahli kumpulan mereka pernah menganggotai Arqam, sebaliknya hanya beliau dan Amran Ibrahim sahaja kini merupakan bekas ahli pertubuhan itu.

Dua lagi anggota kumpulan terkenal itu ialah Che Amran Idris dan Zulfadli Mustaza.

Abu Bakar yang juga bekas ahli The Zikr - sebuah kumpulan nasyid 'lagenda', selain Nada Murni yang dipengaruhi Al-Arqam - berkata, sepanjang pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tiada kumpulan yang dapat dikenalpasi mengikuti ajaran negatif kumpulan itu.

‘Suka hiburan Islam'


Menurutnya, agensi agama itu memantau lirik dan penyampaian kumpulan-kumpulan nasyid yang berasal daripada pertubuhan pimpinan Ashaari Muhammad itu.

Abu Bakar turut menafikan terdapatnya pengaruh ajaran itu di kalangan kumpulan nasyid tidak terkenal yang bergerak secara underground.

"Kebanyakan mereka ini orang muda yang berpelajaran, suka hiburan Islam, lebih kepada pengaruh muzik. Mereka ini sukakan hiburan. Macam kami, memang kami suka menyanyi di samping ingin berdakwah."

The Zikr ditubuhkan awal 90-an dan bergiat lebih lima tahun selepas itu. Ahli-ahlinya kemudian membentuk kumpulan baru Raihan.

Kumpulan ini mendapat sambutan hangat. Album pertama mereka, 'Puji Pujian' terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia.

nasyid group album 181108 rabbaniSementara itu, seorang ahli kumpulan Rabbani, Mohd Asri Baidul berkata kumpulannya tidak lagi mengamalkan ajaran-ajaran yang tidak baik pertubuhan itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Asri Ubaidullah berkata, stigma mereka sebagai bekas ahli al-Arqam memang tidak boleh disorok lagi.

‘Proses tapisan'

Rabbani dianggotai sembilan anggota - kesemuanya bekas ahli al-Arqam - pernah bergiat dalam Nada Murni, sebuah kumpulan nasyid terkenal tajaan al-Arqam.

Ia ditubuhkan pada 1987 dan menghasilkan menerbitkan lebih 200 lagu dalam 20 album. Kumpulan ini dibubarkan apabila ahli-ahlinya keluar daripada al-Arqam dan membentuk dua kumpulan baru -- Rabbani dan Hijaz.

Menceritakan pengalamannya dalam al-Arqam, beliau berkata, karya-karya mereka di dalam pertubuhan itu harus mengalami proses tapisan "orang-orang tertentu" dalam majlis kebudayaan al-Arqam sebelum boleh diterbit dan dipersembahkan.

"Kalau karya Ashaari senang saja, kalau kita sendiri yang tulis, mesti ditapis," kata Mohd Asri.

Beliau bagaimanapun mengakui Ashaari memang seorang penulis yang prolifik. Daripada lebih 200 lagu-lagu dendangan Nada Murni, separuh daripadanya, termasuk liriknya, ditulis oleh Ashaari.

Namun, tambahnya, hanya beberapa lagu sahaja yang bersifat propaganda pertubuhan itu seperti 'Bila Abuya Pulang' dan 'Malaysia Indah'.

‘Salah sangka'


nasyid group album 181108 hijjazAnggota Hijjaz, Ismen Nadim Isam pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau tiada lagi pengaruh ajaran al-Arqam dalam kumpulan itu.

Mereka bahkan mengelak merakamkan semula lagu-lagu dan menggunakan lirik Ashaari dalam album-album mereka.

Bagaimanapun, tambah Ismen, pendengar selalu salah menyangka dan mendakwa mereka menyanyikan lagu-lagu Ashaari.

"Itu tidak benar," katanya.

"Terdapat juga (lagu) yang kami buat sendiri."

Kerajaan mengharamkan al-Arqam sepuluh tahun lalu berikutan atas dakwaan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.

Pengikutnya kemudian didakwa masih berpegang dengan ajarannya dan berselinding di sebalik sebuah perniagaan Rufaqa Corporatian yang kemudiannya turut diharamkan.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.