Exco Wanita Umno, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah mempertahankan kenyataannya bahawa Tan Sri Rafidah Aziz mengumumkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2009 dalam satu majlis yang dihadiiri perdana menteri Ogos lalu, tanpa membincangkannya dengan exco pergerakan itu terlebih dahulu.
"Memang tidak dibincangkan sebelum ia diumumkan secara tiba-tiba oleh Tan Sri Rafidah dalam majlis Wanita bersama pemimpin yang dihadiri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebaliknya, kata beliau, pelan peralihan kuasa itu hanya dibincangkan secara panjang lebar - selepas pengumuman Rafidah - dalam mesyuarat exco pergerakan itu pada 25 September lalu.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan seorang lagi exco Wanita Umno, Halimah Sadique yang mendakwa pelan peralihan tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat exco yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Raja Ropiah sendiri.
Oleh itu, Halimah dilaporkan oleh Utusan Online menafikan kenyataan Raja Ropiah sebelum ini yang mendakwa bahawa Rafidah tidak pernah membincangkan pelan peralihan itu sebelum mengumumkannya.
Halimah menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini, yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Wanita, Datin Paduka Seripah Noli Syed Husin dan Setiausaha Kerja, Munaliza Hamzah serta Ketua Wanita Bahagian Ampang, Dr Rozaidah Talib.
Halimah yang juga ahli Parlimen Tenggara juga dilaporkan berkata, beliau kesal kerana dakwaan yang dikeluarkan itu menyalahi fakta, tidak berasas dan boleh menjejaskan kredibiliti kedua-dua pemimpin pergerakan itu.
"Daatuk Seri Shahrizat sudah mengeluarkan kenyataan hendak bertanding manakala Tan Sri Rafidah pula akan mempertahankan jawatannya, jadi tolong hormati pendirian kedua-dua pemimpin ini."
"Hentikanlah bercakap soal-soal yang boleh memutarbelitkan fakta dan tak perlu ada lagi cerita ulang tayang apa yang berlaku sebelum (pendirian itu dibuat). Cukup!,’’ tegas Halimah dalam laporan tersebut.
Mengulas lanjut mengenainya, Raja Ropiah yang juga ketua Wanita bahagian PJ Utara berkata: "Saya tidak tahu jika ada perbincangan antara mereka berdua (Rafidah dan Shahrizat).
"Tetapi perkara ini tidak dibawa dalam mesyuarat exco Wanita sebelum 4 Ogos. Ia hanya dibincangkan dalam mesyuarat exco 25 September lalu."
Oleh itu, katanya, beliau tetap dengan kenyataannya bahawa pelan peralihan pada Jun 2009 itu tidak dibincang sebelum Rafidah membuat pengumuman secara tiba-tiba mengenainya pada 4 Ogos lalu.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites