Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat harus mengusulkan supaya Raja-raja Melayu diberi peranan lebih besar dalam penggubalan dasar negara, gesa ketua Wanita PKR.

Zuraida Kamaruddin berkata, gesaannya itu sebagai sokongan kepada cadangan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pagi tadi ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam kongres nasional kelima PKR.

Bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau ingin mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang atau pindaan akta seperti sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1983.

Pindaan itu, seperti diamalkan sekarang, memberikan tempoh selama 30 hari kepada Agong untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang atau, jika baginda tidak memperkenan, secara automatik rang tersebut diluluskan.

Ditemui Malaysiakini, Zuraida berkata: "Kita ingin Raja-raja dilihat sebagai ketua kepada semua kaum, bukan semata-mata ketua orang Melayu."

Mengulas bidang penglibatan istana yang patut diperkukuhkah, Zuraida berkata penguasa tertinggi dalam negara itu patut campur tangan memutuskan dalam isu kelemahan kaum seperti tuntutan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye pula berkata Raja-raja perlu diberi peluang memainkan peranan lebih besar sebagai agen semak dan imbang terhadap keputusan yang dibuat pihak eksekutif.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas cadangan Dr Wan Azizah secara terperinci sama ada bermaksud kekebalan daripada aspek undang-undang atau proses meluluskan undang-undang.

Dr Lee berkata, isu sebenar ini perlu dibincangkan lebih lanjut.

Exco pelancongan Selangor dan juga exco Wanita PKR Elizabeth Wong tidak bersetuju kekebalan Raja-raja diberikan sehingga baginda tidak boleh didakwa di mahkamah khas seperti pindaan perlembagaan pada 1993.

Seperti Elizabeth, ahli parlimen PKR bagi Padang Serai, N Gobalakhrisnan bersetuju institusi Raja-raja dirujuk sebelum sesuatu fatwa diluluskan untuk dikuatkuasakan.

Sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden, seorang perwakilan meminta status Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang dikekal dan tidak dipinda.

"Mengenai Raja-raja, kita minta apa yang disebut dalam perlembagaan dikekalkan. Saya juga meminta kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dalam hal berkaitan institusi raja-raja.

"Status quo seperti yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang termaktub pada hari ini (perlu) dikekalkan. Ini penting.

"Kita minta dipertahankan, bukan dipinda," kata perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid.

Ditemui media selepas ucapannya itu, Ahmad Nizam yang juga peguam kepada imam Ramlang Porigi yang menjadi saksi sumpah laknat isu liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata:

"Perlembagaan sedia ada sudah cukup untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah Raja-raja Melayu."

ADS