Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR untuk membersihkan anasir BN daripada kerajaan di lima negeri Pakatan Rakyat, tidak menyelesaikan masalah birokasi dan kelancaran dalam pentadbiran, kata bekas timbalan ketuanya, Badrul Hisham Baharin.

badrul hisham01 "Yang harus dibetulkan adalah sistem itu sendiri. Kalau biarkan sistem yang korup terus berjalan, lantik siapa pun perkara itu akan terus berlaku," kata beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Beliau diminta mengulas gesaan AMK supaya kerajaan Pakatan tanpa banyak alasan segera "membersihkan kerajaan negeri daripada anasir BN" dengan segera dan tanpa berdolak-dalik.

Kelmarin, ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PKR tidak boleh terpukau dan terpedaya dengan pemimpin dan ahli BN yang bertukar kulit semata-mata untuk membolot peluang, tanpa menghayati prinsip, komitmen dan falsafah perjuangan dan yang didukung.

Ditemui Malaysiakini , Badrul yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu berkata, negeri-negeri yang diperintah Pakatan, selepas memperoleh kerajaan besar dalam pilihanraya umum lalu, mendapat "kejutan budaya" dalam menghadapi masalah kelancaran pentadbiran.

Beliau berkata, Pakatan - selepas lapan bulan memerintah - harus 'berhenti sejenak' bagi menilai kembali pendekatan yang diamalkan dan tidak perlu tergesa-gesa mengambil sesuatu tindakan.

Mengakui terdapat sabotaj anasir BN terdiri daripada kakitangan kerajaan di pelbagai sektor dan peringkat, Badrul berkata, tidak semua di antara mereka yang berniat tidak baik.

'Sudah terbiasa'

Sebaliknya, tambah beliau, ada juga di kalangan kelompok itu yang sudah terbiasa dengan budaya kerja lama.

Oleh itu, tambahnya, hanya sistem dan mekanisme pentadbiran yang baik dan telus sahaja yang dapat membentuk mereka supaya turut berfungsi sebagai sebahagian daripada jentera kerajaan.

Sementara itu, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang berkata, bersetuju dengan saranan Shamsul kelmarin.

Tetapi, katanya, bukan pecat "orang Umno, ganti dengan PKR".

Sebaliknya, tambah beliau, perubahan kakitangan haruslah mengambil kira profesionalisme dan kelayakan individu, bukannya parti politik.

Mengakui terdapat anasir BN di negeri itu, Chang mencadangkan negeri-negeri lain di bawah pemerintahan Pakatan mengadakan perbincangan bulanan seperti yang dianjurkan oleh negeri tersebut.

Chang berkata, negeri Perak yang dikuasai Pakatan dengan majortiti tipis itu, sudah tiga bulan mengamalkan perbincangan sebegitu yang mempertembungkan pemimpin kerajaan dan kakitangan kanan, bertujuan menyampaikan dasar-dasar kepada jentera negeri.

ADS