Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB S'gor sedia disiasat BPR
Diterbitkan:  Dec 3, 2008 12:26 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedia disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tohmahan salah guna kuasa terhadapnya berhubung penganjuran serentak Karnival Mesra Rakyat dan Kongres Nasional PKR di Stadium Malawati hujung minggu lalu.

Menurut Khalid, karnival tersebut anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kawasan perkarangan stadium tersebut untuk mendekatkan rakyat dengan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT)

dan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Untuk menarik orang ramai, jelasnya, pihak PBT juga mengadakan persembahan kebudayaan dan muzik serta menyediakan makanan kepada semua pengunjung.

khalid ibrahim interview 160608 "Kongres Nasional PKR telah diadakan di dalam Stadium Malawati di mana lebih kurang 5,000 perwakilan dan pemerhati disediakan makanan yang dibiayai oleh pihak parti," katanya dalam satu kenyataan.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pintu pejabat Menteri Besar Selangor sentiasa terbuka kepada BPR.

"Bahkan pertemuan dengan pengarah BPR Selangor Khamis ini, telahpun diatur semenjak tiga minggu lalu," katanya.

Kelmarin, sekumpulan penyokong parti itu yang bergelar Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) membuat aduan polis terhadap Abdul Khalid atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung penganjuran kongres dan karnival itu.

Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar yang membuat aduan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam berkata pihaknya akan membuat aduan yang sama kepada BPR.

Sementara itu, Abdul Khalid mengucap takziah secara peribadi kepada mangsa kejadian tanah runtuh di Hulu Selangor hujung minggu lepas, Roslan Mohd Jali yang telah kehilangan dua orang anak dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan rumahnya di Ulu Yam Perdana.

Abdul Khalid berkata beliau akan mendapatkan penjelasan secara terus tentang kejadian tersebut.

Menerusi pertemuan dengan Roslan, menteri besar berjanji akan memberi bantuan sepatutnya dalam tempoh sebulan setelah mendapat maklum balas daripada semua pihak serta agensi terlibat.

"Kerajaan negeri menegaskan nasib golongan yang betul-betul memerlukan bantuan akan terbela tanpa perlu dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

"Kerajaan Selangor juga berharap dan berdoa agar senantiasa mendapat kepercayaan daripada seluruh rakyat Selangor bagi meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan telus dan profesional," katanya.

ADS