Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang terkenal dengan "skuad berani bogelnya" dan lantang mencabar kerajaan Selangor kelmarin menerima surat tunjuk sebab daripada barisan exconya.

Sembilan daripada 12 exco persatuan itu hadir dalam mesyuarat tergempar di sebuah restoran di Kuala Lumpur pada Selasa, sehari selepas Ramlan Abu Bakar membuat aduan polis terhadap menteri besar berhubung karnival rakyat di Shah Alam bersempena kongres nasional PKR hujung minggu lalu.

anwar ibrahim pkr congress 021208 06 Mereka sebulat suara memutuskan tindakan itu dengan alasan Ramlan "membuat serangan peribadi" kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dua orang exco lagi tidak hadir dalam mesyuarat itu dipercayai penyokong presiden Reformis.

Ramlan juga, melalui kenyataan-kenyataannya kepada media, didakwa telah membelakangkan pandangan sebahagian besar barisan exconya.

Setiausaha Reformis, Zairi Jantan memberitahu Malaysiakini , tindakan ketuanya itu bertentangan dengan Fasal 17 (2) perlembagaan pertubuhan itu yang menyebut, mana-mana ahli tidak boleh mencemarkan nama baik Reformis dan juga Fasal 9 (4) bahawa jawatankuasa tidak boleh diketepikan dalam membuat sesuatu keputusan.

Reformis - dipercayai mempunyai hubungan dengan penyokong Gerakan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim - didaftarkan pada Julai tahun lalu tetapi hingga kini Pendaftar Pertubuhan belum meluluskan NGO itu.

Awal minggu ini, Ramlan dilaporkan berkata, skuad berani bogelnya akan meneruskan bantahan, termasuk mengejar menteri besar Selangor, yang juga ketua perhubungan PKR, di majlis-majlis yang dihadirinya.

Menurut beliau lagi, ia akan dilakukan sekiranya tuntutan Reformis, supaya kadar kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikaji semula, tidak dipenuhi kerajaan negeri.

khalid ibrahim and selangor state Dalam aduan polisnya 1 Disember, Ramlan mendakwa PKR menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan peruntukan kerajaan negeri untuk mengadakan keramaian dan jamuan makan pada perhimpunan di luar Stadium Malawati, tempat parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan kelima.

Jelasnya, laporan yang sama turut dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Dihubungi semalam, timbalan presiden Reformis, Badrul Hisham Mohd Hanafiah berkata, isu kenaikan sewa PPR yang diperjuangkan oleh mereka memang telah disepakati oleh barisan exco pada November lalu.

Tetapi, tambahnya, "Ramlan telah bawa isu ini terlalu jauh. (Kandungan) kenyataan (media), sidang akhbar pun kita tidak pernah tahu."

Pemimpin nombor dua NGO itu juga berkata, exco-exco lain tidak bersetuju dengan pendekatan serangan peribadi yang dilakukan Ramlan, sebaliknya memilih pendekatan kritikan yang membina.

Ramlan diminta menjawab dalam tempoh 14 hari.

Jika gagal berbuat demikian, tambah Badrul, beliau boleh digantung antara tiga hingga enam bulan.

Nasibnya akan diputuskan oleh sebuah panel penilai yang akan dianggotai individu yang tidak berkepentingan dalam kes itu dan bukan ahli Reformis seperti peguam, katanya lagi.

Malaysiakini gagal mendapatkan reaksi Ramlan berhubung tindakan disiplin yang mendadak dikenakan padanya.

ADS