Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Penduduk Kg Baru Plentong Tengah, yang dipaksa berpindah oleh sebuah syarikat pemaju hujung bulan ini, mendakwa mereka semua menjadi mangsa penipuan oleh beberapa pihak sehingga hilang hak memiliki tanah tersebut.

Dalam satu laporan polisnya kelmarin, jawatankuasa bertindak penduduk kampung itu mendakwa, pembelian tanah mereka pada 1968 telah diseleweng oleh wakil-wakil rakyat, dua peguam dan dua syarikat.

Setiausaha jawatankuasa itu Hassan Wan Ismail membuat aduan di balai polis daerah Johor Bahru pagi Rabu lalu, dengan ditemani oleh pengerusinya Kamarul Ariffin.

Selain mereka, ahli jawatankuasa PAS negeri Syed Othman Syed Abdullah bersama kira-kira 50 orang penduduk kampung turut hadir di balai berkenaan.

Menurut aduan itu, tanah di Lot 83 mukim Plentong dalam daerah Johor Bahru didakwa telah diserahkan oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat swasta pada 11 September 40 tahun lalu walaupun penduduk memohonnya terlebih awal.

Seorang bekas wakil rakyat Tiram pula didakwa membawa seorang peguam untuk menipu wang pendahuluan untuk membeli tanah tersebut berjumlah RM417,307 milik 115 penduduk, laporan polis itu dipetik.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Kamarul mendakwa hingga kini penduduk tidak mendapat balik duit mereka itu.

Nasib penduduk Plentong Tengah hangat dibicarakan di media apabila mereka bertembung dengan polis sewaktu mempertahankan kira-kira 20 rumah yang cuba diruntuhkan oleh pihak berwajib.

Seramai 27 penduduk dan aktivis NGO ditahan polis selama kira-kira 10 jam kerana cuba menghalang kerja perobohan rumah itu.

Kampung tersebut, seluas 113 ekar, mula dibangunkan pada 1960-an dan didiami lebih 2,000 orang, sebahagian besarnya Melayu, dengan 310 buah rumah.

Akhir Oktober lalu, pesuruhjaya kehakiman Datuk Hue Siew Kheng memberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk berpindah dan mereka diberikan penempatan sementara di Taman Desa Mutiara, yang terletak kira-kira 20 minit dari kampung tersebut.

Dalam laporan polisnya, Hassan turut mendakwa pemimpin Umno cawangan kampung tersebut mengkhianati penduduk dengan menarik balik afidavit mereka daripada mahkamah tanpa persetujuan pada 28 Oktober lalu, sehari sebelum kes tersebut dibawa di depan Hue.

Menurut laporan itu, bekas wakil rakyat Tiram itu juga didakwa bersubahat mengarahkan 236 penduduk menyerahkan RM820,000 kepada sebuah lagi syarikat swasta sebagai transaksi awal pemilikan tanah.

Seorang peguam didakwa turut terbabit dalam penyelewengan wang ini, kata Hassan lagi.

Syarikat swasta itu, walaupun telah menerima wang penduduk berjumlah RM820,000, bagaimanapun didakwa menjual tanah Lot 83 mukim Plentong kepada syarikat pemaju lain.

Hassan menggesa polis menyiasat seorang lagi mantan wakil rakyat dan juga bekas exco kerajaan Johor yang didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat pemaju itu.

Aduan yang sama dibawa oleh Hassan dan Kamarul kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada hari yang sama.

ADS