Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo bogel: DAP sokong polis
Diterbitkan:  Dec 5, 2008 9:39 PM
Dikemaskini: Dec 6, 2008 4:38 AM

DAP menyokong polis mengambil tindakan terhadap Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang berniat untuk mengadakan "demonstrasi secara bogel" terhadap kerajaan Selangor walaupun mempertahankan hak berhimpun seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Menubuhkan pasukan berani bogel adalah suatu perkara yang membingungkan.

"Inilah pertama kali dalam sejarah negara munculnya budaya yang buruk.

"Adalah penting tindakan seumpama itu (oleh polis) patut diambil dari peringkat awal," kata Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, ahli parlimen Bukit Gelugor menjelaskan Reformis sepatutnya sedar bahawa salah di sisi undang-undang kesopanan awam untuk mengadakan perhimpunan dengan berbogel.

"Bagaimanapun, sebarang tindakan Reformis untuk mengadakan perhimpunan aman tidak sepatutnya diganggu oleh polis," kata peguam terkenal itu.

Musa dilaporkan berkata hari ini polis akan mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan yang berbogel seperti dirancang oleh Reformis bagi menuntut Selangor menurunkan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Karpal bagaimanapun membantah Musa yang mengecam ahli-ahli politik pembangkang dan kerajaan yang didakwa melanggar peraturan sehingga menggalakkan penjenayah berbuat demikian.

Tokoh pembangkang itu berkata polis harus memberikan permit kepada ahli-ahli politik untuk berhimpun, bukan sahaja yang kepada ahli-ahli politik tertentu, dan tidak menghalang mereka sehingga dituduh melanggar peraturan.

ADS