Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh perlu mendengar rungutan semua pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno di bahagian Kuala Terengganu yang diketuainya, gesa seorang ahli biro penerangan parti itu.

Zulkifli Mohd Nasir berkata, timbalan menteri itu tidak boleh mendengar cakap orang tertentu sahaja kerana "tidak semua berita yang disampaikan itu benar."

Wan Ahmad Farid, katanya, tidak boleh hanya mendengar sebelah pihak yang mungkin ada kepentingan tertentu.

"Apa yang saya cakap sebelum ini termasuk orang tidak suka kepada abangnya Datuk Wan Hisham adalah berita yang disampaikan orang kepada saya.

"Saya perlu bercakap perkara ini supaya dapat membetulkan keadaan dan orang ramai kembali menyokong Umno," kata Zulkifli, menegaskan tegurannya di Malaysiakini kelmarin mengenai masalah Umno berdepan dengan pilihanraya kecil parlimen itu, Januari depan.

"Sebagai ketua bahagian, Datuk tidak boleh memandang ringan teguran dan rungutan orang ramai.

"Saya membuat teguran ini untuk kepentingan Umno terutama ketika menghadapi pilihanraya.

"Orang Umno berharap Datuk dapat memperbetulkan kepimpinan dalam Umno bahagian."

Difahamkan tegurannya itu tidak disenangi oleh beberapa pihak dalam bahagian tersebut.

Mereka menelefon bekas ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu kerana membuka masalah tersebut kepada media.

Zulkifli - juga bekas setiausaha politik tokoh veteran Umno negeri Tan Sri Yusuf Nor - calon BN mungkin mengalami sabotaj dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Selain wujud kumpulan penyokong Umno yang tidak senang dengan Wan Hisham, sekarang naib ketua bahagian, BN juga berdepan dengan rasa tidak puas hati mereka berhubung peruntukan pusat kepada Terengganu, termasuk mengembalikan royalti petroleum.

Wan Hisham, bekas seorang exco negeri dalam pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh, gagal mempertahankan kerusi Ladang, Mac lalu - dikatakan juga akibat undi protes penyokong Umno.

Naib ketua bahagian Umno itu tewas kepada calon PAS Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, bekas pegawai kewangan negeri, dengan majoriti tipis, 31 undi.

ADS