Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kepimpinan Umno bahagian Tanah Merah diterajui oleh muka-muka baru dalam pemilihan bahagian yang diadakan pada 13 Disember lalu.

Jawatan ketua bahagian dimenangi tanpa bertanding oleh bekas ketua Pemuda bahagian, Ikmal Hisyam Abdul Aziz.

Seramai 399 perwakilan menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian tersebut di dewan Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan.

Tokoh agama, Baharudin Yusof pula menang jawatan timbalan ketua bahagian, setelah mengalahkan bekas ahli parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan.

ikmal hisyam abdul aziz Manakala, seorang guru, Bakri @ Mohd. Bakri Mustapa menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua bahagian.

Mohd Almidi Jaafar pula memenangi jawatan ketua Pemuda bahagian tanpa bertanding.

Jawatan ketua Wanita pula dimenangi oleh Dayang Saniah Awang yang menewaskan penyandangnya, Datin Shuhanie Deraman.

Jawatan ketua Puteri Umno bahagian pula dimenangi tanpa bertanding oleh Emy Sarina.

Umno bahagian Tanah Merah menjadi tumpuan apabila seorang ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, Abdul Rahman Ibrahim telah menyeret Umno bahagian ke mahkamah bulan lalu.

Ke mahkamah rayuan

Beliau memohon perintah mahkamah untuk menghalang 32 perwakilan daripada menyertai mesyuarat bahagian kerana didakwa tidak layak ekoran gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu.

Antara ahli Umno bahagian Tanah Merah yang terlibat dengan perintah itu ialah Ikmal Hisyam, AJK bahagian, Ali Akbar Mayim, Bakri@Mohd Bakri Mustapa, Yahya Abu Bakar dan Rasdi Mohamad.

Abdul Rahman mendapat perintah mahkamah itu, yang berkuatkuasa sehingga 20 November dan pada tarikh berkenaan, mahkamah yang sama telah mengetepikan perintah tersebut.

Sementara itu, setiausaha Umno bahagian Tanah Merah, Amran Abdul Rahman berkata, kes tersebut kini dirujuk kepada Mahkamah Rayuan Putrajaya.

“Kami mendapati pemecatan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, Abdul Rahman (Ibrahim) tidak sah kerana ia tidak dilakukan oleh lembaga disiplin Umno atau pun oleh majlis tertinggi (MT) umno.

“Pemecatan beliau dilakukan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku tanpa dibincangkan oleh MT,” katanya.

Pada 7 November lalu, Amran membuat laporan polis ke atas Tengku Adnan kerana didakwa menyalahguna kuasa.

Laporan tersebut di buat di ibu pejabat polis daerah Sentul di ibu negara.

Amran membuat laporan tersebut kerana mendakwa Tengku Adnan telah mengarahkan jawatankuasa badan perhubungan Umno negeri mengambilalih mesyuarat cawangan di bahagian itu tanpa pengetahuan bahagian.

ADS