Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Meja bulat PPSMI: Gerakan kesal tidak dijemput
Diterbitkan:  Dec 18, 2008 4:50 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Gerakan - sebuah parti komponen BN - kesal kerana tidak menerima jemputan untuk menghadiri sidang meja bulat Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Selasa lalu.

hsu dar ren Pengerusi Biro Pendidikan dan Masyarakat Pengetahuan Gerakan, Dr Hsu Dar Ren berkata, laporan media menyebut kira-kira 200 wakil dari pelbagai parti politik dan NGO turut dijemput.

"Walaupun tidak menerima jemputan rasmi kepada parti Gerakan, tetapi kami rasa ganjil kerana mengikut maklum balas yang diterima dari peserta lain, ada kerusi yang diperuntukkan untuk parti kami," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hsu berkata, pihaknya juga mendapat tahu bahawa beberapa parti komponen BN seperti SUPP juga tidak dijemput walaupun mereka disediakan tempat duduk di sidang meja bulat itu.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas laporan mengenai syor mesyuarat meja bulat kelima anjuran kementerian pelajaran untuk membincangkan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Kami berpendapat, ini akan mewujudkan persepsi negatif kepada parti-parti terbabit. Kami ingin mendesak menteri pelajaran supaya menjalankan siasatan terperinci dan memberi kita satu jawapan berhubung perkara itu.

"Dan kita berharap perkara yang sama tidak berulang pada masa depan," tambahnya.

Namun begitu, katanya, Gerakan akan terus menyuarakan pendirian mereka secara terus kepada menteri pelajaran dan juga kepada awam.

Pendirian Gerakan

Mengenai PPSMI, Dr Hsu mengulangi pendirian parti itu bahawa pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah hendaklah diajar dalam bahasa ibunda.

Pada masa yang sama, tegas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pengajaran matapelajaran bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah juga perlu dipertingkatkan.

Bagaimanapun, Dr Hsu berkata, bahasa Inggeris boleh digunakan untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah menengan dan peringkat lebih tinggi.

"Pendirian kita sentiasa konsisten sejak 2002. Kita telah menghantar memorandum mengenai pendirian kita itu pada 2002, dan sekali lagi pada 2005 kepada menteri pelajaran sekarang.

"Memandangkan isu ini amat penting sekali, maka kita akan mengemukakan sekali lagi satu lagi memorandum kita mengenai pendirian kita itu," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hsu berkata, Gerakan - sebagai sebuah parti berorientasi rakyat - sentiasa melihat pendidikan sebagai salah satu elemen paling penting dalam pembinaan negara.

"Dan kita bersedia untuk menyertai sebarang perbincangan mengenai isu-isu pendidikan serta apa juga isu yang membabitkan kepentingan rakyat Malaysia," tambahnya.

Pandangan MIC

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, parti itu akan mengesyorkan kepada kabinet supaya pengajaran Sains dan Matematik kembali menggunakan bahasa ibunda, selaras dengan kehendak dan aspirasi ibubapa dan gurubesar sekolah Tamil.

"Saya akan meminta Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam menyampaikan keputusan kita itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan jawatankuasa pusat MIC hari ini.

Samy Vellu berkata, walaupun beliau percaya, adalah baik untuk pelajar, terutama di sekolah Tamil, untuk menguasai bahasa Inggeris, " tetapi saya perlus mendengar dan akur kepada pandangan dan kehendak ibubapa dan guru besar sekolah Tamil".

"Mereka berhak untuk membuat keputusan sendiri. Kita tidak boleh memaksa pandangan kita ke atas mereka. Perkara ini membabitkan pelajar dan anak-anak mereka. Oleh itu, kita mesti akur dengan permintaan mereka," katanya.

Beliau berkata, guru besar berkenaan sebulat suara menyokong supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Tamil, dalam satu perbincangan yang dianjurkan oleh MIC baru-baru ini.

Samy Vellu berkata pelajar sekolah Tamil boleh belajar menguasai bahasa Inggeris apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong berkata, beliau akan mengemukakan maklum balas yang dikumpul dari beberapa pertubuhan, termasuk parti-parti politik mengenai pengajaran Sains dan Matematik, sewaktu sidang meja bulat anjuran kementeriannya Selasa lalu, kepada Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein untuk dibentangkan kepada kabinet untuk dibuat keputusan.

Dilaporkan bahawa 62.76 peratus pelajar sekolah Tamil menjawab kertas Sains dan 89.11 peratus lagi menjawab kertas Matematik dalam bahasa Inggeris dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

ADS