Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua bahagian Datuk Ahmad Kuris Mohd Nor diberikan amaran oleh lembaga disiplin Umno kerana berkempen menggunakan blog bagi mengekalkan jawatan tersebut.

Selain pemimpin bahagian Hulu Langat itu, Abdul Kadir Abdul Karim dan Remlah Abd Rahman, kedua-duanya dari Batu, turut diberi amaran.

"Ahmad Kuris didapati bersalah kerana membina blog untuk berkempen bagi pemilihan parti," kata pengerusi lembaga disiplin parti Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Ahmad Kuris, juga bekas wakil rakyat Semenyih, berblog di 'Salam Perjuangan' (dkuris.blogspot.com) yang dibangunkan sejak April lalu.

Tengku Ahmad Rithauddeen menambah, Abdul Kadir dan Remlah kerana mengadakan majlis jamuan makan semasa kempen mesyuarat bahagian.

Ketua bahagian Umno Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin digantung keahlian selama dua tahun kerana bersalah mensabotaj dalam pilihanraya umum lalu.

Ahmad menang tanpa bertanding jawatan ketua Umno bahagian dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Ahli Umno cawangan dalam bahagian berkenaan Halimah Hanafi digantung selama tiga tahun kerana membuat aduan palsu kepada lembaga tersebut.

Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, penggantungan keahlian Ahmad dan Halimah berkuatkuasa mulai 17 Disember lalu.

Menurutnya, lembaga disiplin Umno menerima 865 aduan. Daripada jumlah itu, 224 aduan telah disiasat.

Sementara itu, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, ahli jawatankuasa bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim dipecat kerana membawa isu dalaman parti ke mahkamah.

"Dua lagi ahli dari Kota Tinggi dan dan Ledang yang membawa parti ke mahkamah akan digantung setelah proses siasatan selesai," katanya.

Beliau berkata, lembaga disiplin telah melantik 11 orang ahli baru menjadikan semua 26 orang untuk membantu mempercepatkan proses siasatan dan pendengaran aduan ahli-ahli parti.

Katanya, 11 yang dilantik itu termasuk bekas hakim, bekas polis dan bekas tentera.

ADS