Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim - yang digantung tiga tahun susulan mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - dijangka menyertai PAS esok.

Mantan ketua Pemuda Umno bahagian itu, Nor Azman Mohd Nor berkata, berita kemasukan Zahar tersebut sudah tersebar dalam kalangan ahli-ahli Umno bahagian.

"Beliau keluar Umno kerana kecewa setelah digantung jawatan ketua bahagian selama tiga tahun oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini," katanya ketika diminta mengulas desas-desus tersebut.

Zahar digantung jawatan tersebut awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

abu zahar hashim umno pas Difahamkan bekas kapten itu akan menyerahkan borang menyertai PAS dalam satu majlis di di sebuah hotel di Ampang, pagi esok.

Malaysiakini sejak beberapa hari lalu bagaimanapun gagal menghubungi Zahar untuk mengesahkan ura-ura tersebut.

Ketika dihubungi sebuah akhbar dalam talian, beliau belum memutuskan sama ada akan meninggalkan Umno atau terus bersara daripada dunia politik.

"Saya masih memikirkannya. Yang anda dengar itu khabar angin sahaja," katanya kepada mStar Online .

Zahar bagaimanapun dilaporkan berkata kemungkinan besar menyertai PAS jika ingin menyertai pembangkang.

Nor Azman menambah, penyertaan Zahar tidak akan menjejaskan Umno kerana pemimpin politik itu mungkin akan diikuti oleh 10 hingga 20 orang ahli sahaja.

"Petaling Jaya Selatan mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan tindakan keluar parti oleh beberapa orang tidak menjejaskan parti," katanya.

Bekas naib ketua bahagian itu Aris Ripen turut mengesahkan berita Zahar akan keluar daripada Umno telah luas tersebar, termasuk di beberapa blog.

"Tetapi saya tidak boleh mengesahkannya kebenarannya, tetapi ramai yang telah bercakap.

"Kita tunggu esok untuk menentukan sama ia benar atau tidak," katanya.

Ketiadaan Zahar tidak menjejaskan kekuatan Umno di bahagian tersebut kerana ribuan lagi masih setia dengan parti.

"Datuk Zahar tidak ikhlas dalam perjuangan," katanya.

ADS