Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan pengikut ajaran Qadiani di Selayang enggan menanggalkan logo kalimah Allah di bangunan miliknya di Kampung Nakhoda, tegas jurucakap Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia.

"Mana boleh suruh tanggalkannya, kita akan mempertahankannya selagi boleh," kata Ainul Yakin Mohd Zain kepada Malaysiakini hari ini.

Awal bulan ini, sekumpulan pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan secara lisan kepada pengikut ajaran itu - juga dikenali sebagai Ahmadiyah - agar menurunkan logo itu dari bumbung bangunan tersebut.

Kerajaan Selangor hari ini dilaporkan ingin mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut, termasuk merampas tanah milik kumpulan itu, kerana menukar rumah kediaman kepada tempat beribadat.

hasan ali selangor and the qadani qadiani ahmadiyya faith 231208 Sehubungan itu, Ainul Yakin berkata mereka ingin berbincang dengan exco agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan MPS secepat mungkin.

"Kita sedang mengatur untuk bertemu MPS kerana tanah tapak pembinaan bangunan Baitul Salam yang menjadi tempat aktiviti pengikut kami adalah milik ahli kami.

"Kami yang meneroka Kampung Nakhoda 40 tahun lalu, dan kini ada 15 keluarga yang mengikut ajaran Ahmadiyah," katanya.

"Cuma yang menjadi masalah, perjumpaan dengan Dr Hasan kerana kerajaan negeri telah mewartakan ajaran ini sebagai sesat dan terkeluar daripada Islam."

Tambahnya, Majlis Raja-raja Melayu mengeluarkan fatwa bahawa ajaran - yang berasal dari daerah Qadian, India - sesat pada 1975 "sedangkan kami mengamalkan ajaran Islam."

"Tuduhan Dr Hasan bahawa pengikut kumpulan ini tidak solat adalah tidak benar," katanya.

Dr Hasan, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, dilaporkan berkata pengikut ajaran tersebut "tidak perlu mengerjakan solat, tidak berpuasa di bulan Ramadan dan tidak menunaikan haji."

Ainul Yakin juga menyifatkan tindakan terbaru Selangor itu bermotifkan politik semata-mata kerana mereka pernah menghadapi tindakan serupa daripada kerajaan negeri bawah pentadbiran BN.

"Pandangan serong terhadap kami bukan perkara baru. Orang ramai tidak mahu bercampur dengan kami kerana dikatakan kami bukan orang Islam," katanya.

ADS