Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menafikan beberapa ratus peserta program penerangan isu semasanya minggu lalu dihadiri oleh orang luar daerah.

Timbalannya Rahimudin Md Harun berkata dua bas berulang-alik untuk mengangkut sebahagian daripada 800 penduduk kampung-kampung berdekatan.

Sementara sebahagian hadirin lagi datang dengan kenderaan sendiri.

"Kalau tidak dapat sokongan penduduk, program itu tidak berjaya," katanya hari ini, diminta mengulas dakwaan Persatuan Penternak Babi Paya Mengkuang berhubung program tersebut.

melaka pig farm problem malay banners 191208 02 Pengerusinya Na Tian Lam semalam memberitahu Malaysiakini , beliau mengesyaki orang ramai yang hadir di program tersebut - termasuk mengadakan bantahan dengan membakar empat replika babi - terdiri orang luar dan bukannya penduduk kampung berdekatan.

"Kita berkawan baik dengan orang kampung. Hubungan kita dengan orang Melayu baik," katanya.

Sabtu lalu, Pewaris menganjurkan Majlis Perjumpaan Orang Melayu (Islam) di perkarangan Hotel Samudera Resort Riverside, Masjid Tanah.

Rahimudin menjelaskan pihaknya merancang selama satu bulan setengah untuk mengadakan majlis pertemuan dan acara pembakaran replika itu.

Tambahnya, Pewaris mula memikirkan untuk mengadakannya selepas kejadian penggantungan kepala babi di pintu pagar rumah seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Masjid Tanah, Md Rawi Mahmud pada 13 November lalu.

Dua lagi insiden dilaporkan di tepian Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah pada 18 Oktober lalu dan kain rentang NGO itu di bulatan Tanjung Bidara-Kuala Sungai Baru, 17 Disember.

pig issues in malacca Rahimudin menambah, majlis penerangan dan pembakaran replika haiwan tersebut bertujuan mendesak kerajaan Melaka memindahkan kawasan penternakan itu ke kampung berpenduduk Cina.

"Kita tak halang hendak ternak babi. Kerajaan (Melaka) harus lebih peka dengan memindahkan babi ke kawasan penduduk Cina. Kerajaan harus sensitif dengan perasaan orang Melayu," katanya.

Dalam kawasan parlimen Masjid Tanah sahaja, tambahnya, kira-kira 8,000 pengundi Melayu tinggal berdekatan 80 kawasan penternakan babi.

Beliau menafikan program Pewaris itu bertujuan meniupkan api perkauman tetapi orang Melayu "lebih sensitif" terhadap haiwan ternakan itu.

"Kita kumpulan pendesak untuk membantu dan membela orang Melayu, bukan nak bangkitkan isu perkauman.

"Jika diletakkan arak, pelacur atau babi, babi lebih sensitif bagi orang Melayu," tambah Rahimudin.

NGO itu yang dianggotai hampir 3,000 orang di Wilayah Persekutuan dan Melaka akan terus mempertahankan hak orang Melayu.

ADS