Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen PKR bagi Padang Serai, N Gobalakrishnan mendakwa beliau dihalang masuk ke Sarawak oleh kerajaan negeri sewaktu tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching petang ini.

Dalam insiden kira-kira jam 5.30 petang tadi, tambahnya, beliau diberikan sekeping notis larangan oleh pihak imigresen.

"Sebaik tiba di lapangan terbang, pegawai imigresen memberitahu saya yang saya tidak dibenarkan masuk atas arahan kerajaan negeri.

gobalakrishnan hindraf batu caves siege 121207 lead "Pegawai imigresen memberi sekeping notis yang tertulis 'Tuan bukan rakyat Sarawak, tidak berhak untuk masuk ke Sarawak tanpa permit atau pas Akta Imigresen 1959-1963'.

"Kini saya masih berada di bilik imigresen lapangan terbang berkenaan menunggu untuk dihantar (ke Kuala Lumpur) pulang jam 7.25 malam ini," katanya kepada Malaysiakini pada 6.30 petang tadi.

Gobalakrishnan berkata, walaupun beliau bertanyakan alasan mengapa tidak dibenarkan masuk, pegawai berkenaan memberitahu ia atas arahan kerajaan negeri.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli parlimen DAP bagi Kuching, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak.

Pada 16 Disember lalu, Gobalakrishnan turut serta dalam perbahasan wakil pembangkang itu yang menggesa Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud disiasat apabila Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan.

Chong mendakwa rakyat Sarawak mengetahui perkara tersebut tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak menyiasat dakwaan terhadap Abdul Taib dan ahli keluarganya.

Sewaktu dihubungi tadi, Gobalakrishnan berkata beliau mahu masuk ke Sarawak untuk menghadiri satu program PKR.

Berikutan itu, katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Bagaimanapun, tiada reaksi rasmi kerajaan Sarawak setakat ini berhubung insiden tersebut.

PKR telah meningkatkan kempennya di menjelang pilihanraya negeri - diura-urakan akan diadakan pada 2010.

Pemimpin utamanya Datuk seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang semakin kuat untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Abdul Taib.

Anwar juga telah meminta barisan pemimpin kanan parti itu termasyk ahli-ahli parlimennya setiap minggu melawat Sarawak untuk menemui rakyat negeri tersebut.

ADS