Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedia bertemu dan berbincang dengan pengikut kumpulan Qadiani bagi membincangkan isu yang dihadapi oleh kumpulan tersebut.

Pegawai perhubungan awam jabatan itu Mohd Hidayat Abdul Rani berkata, pintu pejabatnya sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan kumpulan tersebut, yang dikenali juga Ahmadiyah.

"Bukan sahaja dengan kumpulan Qadiani, malah dengan kumpulan-kumpulan ajaran sesat lain.

"Kami pernah memanggil kumpulan ajaran sesat di seluruh negeri ini untuk mengadakan perbincangan,” katanya.

“Tetapi saya tidak pasti sama ada orang Qadiani datang atau tidak..

“Perbincangan dengan kumpulan ajaran sesat ini bukan sahaja membabitkan Jais tetapi juga pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).”

Jemaat Ahmadiyah mosque selayang Beliau diminta mengulas dakwaan pengikut kumpulan Qadiani yang berpangkalan di Kg Nakhoda, Selayang (foto kiri) bahawa Jais enggan mengadakan perbincangan dengan kumpulan tersebut.

Jurucakap gerakan itu Nurul Yakin Mohd Zain berkata usaha kumpulannya untuk menemui pegawai Jais tidak pernah berjaya walaupun sudah berusaha beberapa kali.

"Mereka mengamalkan dasar tutup pintu kepada kami... mereka juga tidak datang ke tempat kami untuk melihat sendiri apa yang kami lakukan.

"Bukan sahaja kegiatan agama tetapi kami juga melakukan kegiatan amal dan kemasyarakatan, termasuk menderma organ tetapi ini semua tidak diambil kira," katanya.

Mohd Hidayat juga berkata, pegawai Jais telah pergi ke Kg Nakhoda berjumpa ahli kumpulan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai ajaran mereka.

"Kalau mereka kata kita tidak pergi, (dakwaan itu) tidak betullah. Ada pegawai kita yang pergi bertemu dengan ahli Qadiani di kampung mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan maklumat yang diperolehi daripada ahli kumpulan tersebut.

Beliau berkata, Jais tetap akan menurunkan logo kalimah Allah yang dilekatkan di bangunan Baitul Salam milik kumpulan tersebut.

"Apabila ia difatwakan sesat, Jais bertanggungjawab untuk melaksanakan fatwa tersebut," katanya.

Majlis Raja-raja Melayu mengeluarkan fatwa pada tahun 1975 bahawa ajaran Qadiani sesat dan terkeluar dari ajaran Islam.

Awal bulan ini, sekumpulan pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan secara lisan kepada pengikut ajaran itu supaya menurunkan logo itu dari bumbung bangunan milik kumpulan itu.

ADS