Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib harap insiden jurufoto di belasah tidak berulang di KT
Diterbitkan:  Jan 5, 2009 3:06 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kejadian kekerasan sewaktu pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh di mana seorang jurugambar dibelasah, tidak berulang di Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menggesa parti-parti politik yang bertanding, termasuk dari kalangan Barisan Nasional (BN) supaya tidak melakukan kekerasan sehingga mencemarkan perjalanan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Katanya, semua pihak perlu mematuhi peraturan dan tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, lapor Bernama.

"Saya berharap semua pihak, lawan dan juga kita (Barisan Nasional) sendiri tidak melakukan kekerasan yang boleh mencemarkan perjalanan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita tidak mahu lagi berlaku seperti di Permatang Pauh, seorang jurugambar dibelasah," katanya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ketua-ketua cawangan Umno dalam Bahagian Kuala Terengganu di Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata kekuatan anggota polis juga mencukupi bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman orang ramai sepanjang pilihanraya kecil itu.

Katanya beliau telah mendapatkan maklumat dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berhubung perkara itu bagi memastikan pilihanraya kecil itu berjalan lancar.

"Saya difahamkan, polis telah menempatkan anggota tambahan untuk menjaga ketenteraman awam," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga timbalan presiden Umno berkata, beliau berpuashati dengan persiapan dan komitmen jentera Umno bagi menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Beliau berkata BN mempunyai masa yang mencukupi untuk berkempen bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kekal milik parti itu.

"Saya akui persaingan untuk pilihan raya kecil ini sengit dan hebat tetapi BN bersedia untuk menghadapinya bagi memastikan kita memperoleh kejayaan," katanya.

ADS