Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertempuran sengit antara tentera Israel dan pejuang-pejuang Hamas dan dentuman bom yang memecah kesunyian awal pagi Isnin, dilaporkan berlaku di Zeitun, sebuah bandar Gaza menuntut penduduknya mencari tempat perlindungan.

Bekalan elektrik di jalan raya dan rumah penduduk diputuskan telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk sehingga memaksa mereka mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.

"Kehidupan kami dipenuhi dengan ketakutan," kata Abdelrahim Malaka, seorang penduduk di bandar ini.

"Kami merayu bantuan dari seluruh dunia dan selamatkan kami daripada kekejaman Israel. Apa dosa anak-anak Palestin sehingga rumah mereka di bom?".

Manakala seorang lagi penduduk di bandar itu Abu Abed al-Safadi turut melahirkan rasa ketakutan penduduk di situ kerana mereka berhadapan dengan kematian bila-bila masa.

"Kami nampak seorang jiran wanita mengibarkan bendera putih tetapi askar Israel masih menembak mereka. Kami tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka," tambah Abu Abed.

Dalam serangan kira-kira seminggu lalu, ribuan rumah kediaman penduduk dilaporkan mengalami kemusnahan dan kerosakan apatah lagi mereka terpaksa berhadapan dengan cuaca sejuk.

87 kanak-kanak terkorban

Berpuluh-puluh keluarga menaiki kereta dan trak meninggalkan bandar Gaza dan pekan-pekan kecil di utara - di mana pertempuran hebat berlaku antara tentera Israel dan pejuang Hamas.

Menurut Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Gaza mengesahkan bilangan penduduk bandar itu yang terkorban kini mencecah kira-kira 512 orang sejak Israel melancarkan serangan sejak 27 Disember lalu.

Serangan di Gaza yang berlarutan lapan hari lalu dihalakan untuk melumpuhkan jentera serangan Hamas - sebuah pergerakan Islam yang turut melancarkan serangan roket terhadap Israel.

Pihak hospital turut mengesahkan serangan awal pagi Isnin itu mengakibatkan kira-kira 87 kanak-kanak terkorban. Tidak kurang juga ada penduduk teraduk wanita mengalami kecederaan dalam serangan udara yang dilancarkan.

Ketua Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Gaza, Moawiya Hassanein, menjelaskan kemusnahan berlaku dengan teruk sehingga menyukarkan ambulan memberi bantuan kepada mangsa yang cedera atau terkorban.

Bekalan makanan semakin berkurangan, malah kedai-kedai yang menjual makanan di bandar telah kehabisan makanan menyebabkan rakyat terpaksa keluar daripada tempat perlindungan untuk mencari makanan.

Program Makanan Sedunia menumpukan untuk menghulurkan bantuan makanan seperti biskut dan makanan bertin kerana kebanyakan penduduk kehabisan bahan bakar.

'Krisis kemanusian'

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendakwa terdapat hanya 10 kedai roti yang masih beroperasi di bandar itu kerana kekurangan tepung gandum dan petrol.

Menurut seorang koordinator kemanusiaan agensi dunia itu berkata generator tambahan untuk menerangi wad-wad elektrik di hospital Shifa akan berakhir dalam masa lima hari lagi kerana kekurangan bahan bakar tersebut.

Agensi itu mendakwa telah menghantar bantuan 75,000 ribu liter minyak ke Gaza. Namun kurang separuh daripada jumlah tersebut dapat dihantar kerana pemandu lori tangki takut membawanya di atas jalan raya.

Bagaimanapun kerajaan Israel menolak dakwaan bahawa Semenanjung Gaza berada dalam "krisis kemanusiaan".

Pemangku perdana menterinya, Ehud Olemert memberitahu selepas mesyuarat kabinet bahawa negaranya tidak akan membenarkan krisis tersebut berlarutan.

Sementara itu, menurut laporan AFP, serangan Israel di Gaza mendapat bantahan dan kecaman daripada penduduk seluruh dunia termasuk di Turki, Maghribi, Beirut dan Iraq serta di negara-negara Eropah seperti Greece, Perancis, Norway dan di Kanada.

Ahad lalu, di Istanbul, kira-kira 700,000 penunjuk perasaan membantah serangan Israel terhadap penduduk Gaza. Pelbagai bentuk kecaman dilahir oleh penunjuk perasaan mengecam tindakan zalim tersebut.

'Pemimpin Arab membisu'

Manakala di Maghribi pula, kira-kira 40,000 ribu penunjuk perasaan membanjiri ibu kota Rabat bagi melahirkan kemarahan mereka terhadap pemimpin-pemimpin Arab yang diam membisu.

Mereka juga turut mengecam Presiden Mesir Hosni Mubarak yang "cuba menjual Semenanjung Gaza kerana wang".

Sementara di Lebanon, ribuan penduduk di negara itu berhimpun di ibu pejabat PBB. Anggota Majlis Keselamatan agensi itu yang bermesyuarat Sabtu lalu, gagal mendapat kata sepakat untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Ratusan penduduk Lebanon juga mengadakan di Kedutaan Amerika Syarikat di Awkar - terletak di utara Beirut - terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan merian air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Di Paris kira-kira 20,000 berarak dan penunjuk perasaan berhimpun di jalan bagi menunjukkan sokongan terhadap Palestin dan mengecam serangan tentera Israel yang menyerang kawasan yang dikuasai oleh tentera Hamas.

Manakala di Athens, Greece, lebih daripada 4,000 orang berhimpun di Kedutaan Amerika dan Israel membakar gambar Bush dan Barack Obama serta kedua-dua bendera negara itu.

Di Norway, para penunjuk perasaan membaling telur dan batu ke Kedutaan Israel di Oslo dan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demontrasi.

Media Norway melaporkan, ratusan demontran terlibat dalam acara tersebut, demikian menurut AFP dipetik sebagai berkata.

ADS