"Saya mahu membantu rakyat miskin. Sebaik sahaja terpilih, saya akan menggunakan elaun untuk ahli Parlimen untuk membantu mereka, tanpa mengiri bangsa dan parti," katanya.Beliau memberitahu demikian ketika ditemui Malaysiakini selepas proses penamaan calon di Kuala Terengganu pagi tadi.
Bagaimanapun, peluang Azharudin untuk menang dilihat sukar kerana beliau akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid dan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut.
Azharudin berkata beliau memperuntukkan sebanyak RM15,000 untuk tujuan berkempen menjelang hari pengundian pada 17 Januari depan.
Katanya, beliau juga tidak dibiayai oleh mana-mana pihak untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.
"Saya biayai sendiri dan saya melakukan ini atas kehendak saya sendiri," tambahnya.
Pilihanraya kecil tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail dari BN pada 28 November lalu.
Guna lambang buku
Azharudin, yang juga seorang tabib di Kuala Terengganu, akan menggunakan buku sebagai lambangnya.
Katanya, beliau berhak bertanding dalam pilihanraya kecil itu dan ini juga merupakan kali pengalaman pertamanya.
"Saya bertanding bukan untuk pecah undi. saya mahu menang," tambahnya.
Dalam pilihanraya umum lalu, Razali memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf. PAS kemudiannya mendakwa, calonnya kalah kerana Maimun telah memecahkan undi.
Azharudin juga berkata, CD akan menjadi bahan utama dalam kempennya, sambil menambah beliau juga akan menggunakan lori untuk mengadakan kempen bergerak.
Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang lamanweb atau blog dan akan bergantung sepenuhnya untuk bertemu terus dengan para pengundi.